Jumaat, 27 September 2013

Mengapa Mukhriz tidak pilih ketua pemuda?

Subky Latif,


Dato Mukhriz anak Dr Mahathir telah memilih untuk merebut satu dari tiga kerusi Nnaib Presiden dalam pemilihan pimpinan Umno. Mengapa dia tidak merebut jawatan Ketua Pemuda Pergeerakan Pemuda Umno yang pernah ditandinginya dalam pemilihan yang lalu?

Dia tidak dapat mengalahkan Khairy Jamaluddin dalam pertandingan tiga penjuru dalam pertandingan itu.

Adalah benar jawatan Ketua Pemuda itu dalam rangking pimpinan parti lebih rendah dari Naib Presiden, maka jika berlaku mana-mana kekosongan dalam dua jawatan teratas – Presiden dan Timbalan Presiden – di luar musim pemilihan, maka yang dipandang dulu untuk mengisinya ialah para Naib Presiden.

Meskipun Ketua Pemuda adalah calon yang layak, tetapi tidak dipandang dulu. Maka mungkin itu sebab Mukhriz berminat lagi. Tetapi adakah itu sebab dia tidak memilih jawatan Ketua Pemuda, malah membiarkan seorang yang dikira proksinya, anak Tan Sri Sanusi Joned untuk mencabar seteru ketatnya, Khairy?

Bagi kedua anak beranak tersohor itu, Mukhriz dan bapanya, orang yang paling dicemburuinya adalah Khairy sejak dia belum menjadi Ketua Pemuda lagi. Famili itulah yang mencipta jolokan budak di tingkat empat yang ditujukan kepada Khairy sejak pentadbiran Tun Abdullah dulu lagi. Malah tidak suka itu mungkin melebihi pada bapa mertua Khairy sendiri.

Jika boleh mereka mahu ketepikan Khairy dulu dari bapa mertuanya, sebab mereka percaya Khairy lebih sudu dari senduk dalam perang dingin antara bapa Mukhriz dengan mertua Khairy.

Maka dengan tidak mencabar Khairy kali ini, Mukhriz dan bapanya membiarkan Khairy terus berada dalam salur galur hiraki pimpinan Umno. Pandangan jauh mereka Khairy boleh menghalang peluang Mukhriz untuk menjadi Perdana Menteri satu hari nanti. Jika Khairy tidak dipinggirkan, maka itu adalah satu percaturan politik yang silap.

Menyekat Khairy dalam mood semua tidak senangkan bapa mertuanya adalah lebih senang sebelum dia bertapak dalam kuasa Umno.

Usaha menyekat Khairy itu gagal. Mukhriz tidak dapat menggantikan jawatan anak seorang bekas Perdana Menteri lagi apabila jawatan itu dikosongkannya. Khairy yang mengisinya.

Khairy sudah dikira bertapak kuat dalam Pemuda Umno sekalipun dia dipeti sejukkan sekitar empat tahun oleh pentadbiran pro Mahathir. Dengan dia jadi menteri belia dan sukan empat bulan lalu, dia dilihak lebih berwibawa dari  menteri yang digantikannya.

Maka dengan keadaan yang terbaru itu adalah payah bagi Mukhriz untuk mengambil alih tempat Khairy itu. Kira Mukhriz hendak menebus kekalahan dulu, eloklah dilupakan. Gerenti Mukhriz akan dikalahkan.

Dengan menyedari peluang itu tipis dan jawatan itu pula rendah dibandingkan dengan Naib Presiden, maka risiko memilih jawatan Naib Presiden itu tidaklah setinggi mencabar Khairy. Mukhriz nescaya lingkup jika berdepan dengan Khairy.

Bukan semua penyandang Naib itu boleh dikecundangkan. Mungkin ada ruang bagi Mukhriz mencelah. Jika sentimen kelab Menteri Besar seperti yang pernah berperanan sejak 40 tahun dihidupkan lagi, peluang itu ada buat Mukhriz.

Sejak zaman Dato Harun Idris jadi Menteri Besar Selangor awal 70-an dan dilanjutkan oleh Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad sebagai Menteri Besar Terengganu, kelab Menteri Besar itu mahu ada di kalangan Naib Presiden itu dari Menteri Besar, tidak kira Menteri Besar mana negeri, maka kesempatan menjadi Menteri Besar Kedah adalah menjadi peluang baik buat Mukriz.

Dan kalau percubaan Mukhriz itu gagal, ia tidak terasa sangat, kerana yang kalah bukan dia saja. Ada dua lagi yang kalah bersamanya. Tapi kalau kalah di tangan Khiary, terasa sangat.

Tiada ulasan: