KUALA LUMPUR - Pengerusi DAP, Karpal Singh menegaskan beliau tidak akan berundur dari politik selagi pakatan pembangkang gagal membentuk kerajaan Pusat.
  
Pemimpin veteran DAP itu tidak menolak kemungkinan yang beliau akan terus kekal menjadi calon pada pilihan raya umum akan datang.
  
"Saya tidak akan undur dan bersara dalam waktu terdekat. Memang hasrat saya untuk menyerahkan kepimpinan kepada generasi muda. Kita semakin tua dan orang (pemimpin) tua perlu bersara satu hari nanti.
  
"Saya akan bersara dalam masa munasabah. Munasabah bermaksud lepas apa yang kami mimpikan iaitu untuk jadi kerajaan Persekutuan menjadi kenyataan. Lepas itu baru bagi kepada orang muda," katanya pada sidang media di Kongres Khas DAP di sini, hari ini.
  
Terdahulu dalam ucapan aluannya, Karpal, 73, berkata, beliau dan kepimpinan generasi lama dalam parti itu termasuk penasihat DAP Lim Kit Siang, 72, perlu berundur bagi memberi laluan kepada generasi muda untuk menerajui parti itu.
  
Kerjaya politik Karpal, seorang peguam, bermula pada 1970 apabila beliau menyertai parti itu.
  
Beliau memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Kedah pada 1974, dan mula menjadi anggota parlimen Jelutong, Pulau Pinang pada 1978.
  
Karpal gagal mempertahankan kawasan Jelutong yang dipegang melebihi 20 tahun pada Pilihan Raya Umum 1999.
  
Sejak 2004, Karpal menjadi wakil rakyat bagi kawasan Bukit Gelugor, Pulau Pinang dan memegang jawatan sebagai Penasihat DAP pada tahun yang sama.  - Bernama