Isnin, 30 September 2013

Ahmad Said Gesa SPRM Siasat Bumbung Masjid Runtuh

MSTAR ONLINE
 
 
KUALA TERENGGANU: Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat sebarang unsur rasuah melibatkan proses pembinaan masjid yang runtuh di Kampung Tebauk, Bukit Tunggal di sini, Ahad.

Beliau berkata, pihak kontraktor dan pembekal bahan binaan harus disiasat untuk mengesan sebarang penyelewengan dan sama ada pembinaan mengikut spesifikasi pihak berwajib.

"Insiden masjid runtuh hari ini harus diambil perhatian oleh pihak JKR (Jabatan Kerja Raya). Ada yang tidak betul. Saya minta SPRM menyiasat sepenuhnya kes ini," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangai Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dengan Mardi di sini.

Ahmad berkata, beliau akan mendapatkan laporan penuh berhubung kejadian itu.

Runtuhan ini katanya mencalar imej negeri Terengganu hingga ramai yang menggelarkan 'Terengganu Darul Runtuh'.

Dalam kejadian sekitar 4.00 pagi, bumbung dan siling masjid tersebut runtuh melibatkan kira-kira 20 peratus ruang solat terbuka masjid yang mampu memuatkan 1,000 jemaah. - BERNAMA

Tiada ulasan: