Sabtu, 28 September 2013

Memenangi hati and minda Melayu – Paradigma baru

Oleh T. K. Tan

IMG_4305


“KITA tidak boleh lagi hanya mengharapkan dengan muncul sekali dalam empat atau lima tahun di sesuatu kawasan itu, buat ceramah, dan adakan lawatan kunjungan, baru boleh memenangi hati mereka!”

Demikian pesanan Tengku Zulpuri, ADUN Mentakab merangkap Timbalan Pengerusi DAP Pahang dalam memberi pandangan beliau mengenai cara memenangi minat pengundi Melayu luar bandar.

Antara yang menjadi kebuntuan utama bagi Pakatan Rakyat dalam pilihanraya umum (PRU) lalu dalam usahanya untuk menawan Putrajaya ialah ketidaksediaan kaum Melayu untuk berubah, khasnya Melayu luar bandar. Dalam satu temuramah, Tengku Zulpuri menjelaskan tentang perlunya merubah pendekatan yang sedia ada untuk menawan kubu kuat BN, kawasan luar bandar yang majoritinya penduduk Melayu.

“Pendekatan kita terhadap kaum Melayu perlu lebih sistematik dan terancang. Kita perlu melaburkan masa dan tenaga untuk mendampingi dan menawan hati pengundi Melayu luar bandar, contohnya dengan kunjungan takziah, perkahwinan atau aktiviti gotong royong umpamanya.”

“Sebolehnya, calon untuk kawasan yang bermajoritikan Melayu hendaklah dikenalpasti awal dan diamanahkan untuk mula bergerak kerja dikawasan itu. Ianya memerlukan masa dan tumpuan dalam bergerak di kawasan Melayu luar bandar,” beliau menjelaskan.

“Panduan politik orang Melayu luar bandar ini sudah lama dipengaruhi oleh media kawalan UMNO.

Adakah dengan kunjungan dan berkempen sekali dalam lima tahun mampu mengubah persepsi negatif mereka terhadap DAP yang dibentuk oleh media BN ini selama lima tahun lalu?”

Tengku Zul#4

Beliau menceritakan pengalaman dikawasannya. “Calon lawan saya adalah seorang veteran MCA yang sudah bertapak di Mentakab. Beliau tidak terpalit dengan berita bersifat skandal; ditambah pula beliau kerap melawat penduduk Melayu disini maka beliau agak dikenali masyarakat Melayu Mentakab.”

“Tidak hairanlah mengapa saya kalah di kawasan Melayu walaupun saya orang Melayu.”

“Tidak cukup sekadar dengan mengadakan ceramah maka dirasaka kerja kita sudah selesai; balik-balik yang hadir ceramah adalah penyokong tegar PR ataupun orang yang sama juga,” Tengku Zulpuri menambah lagi.

Mengenai isu bagaimana DAP dan Pakatan Rakyat mampu mengubah mentaliti masyarakat Melayu, terutamanya Melayu luar bandar yang masih sangsi dengan Pakatan Rakyat khasnya DAP beliau turut memberi komen.

“Persepsi kaum Melayu luar bandar terhadap suasana politik di mana sokongan kuat kaum Cina kepada PR khasnya DAP dilihat sebagai mengugat dominasi Melayu dalam kancah politik Malaysia. Ini boleh dirungkai jika ada penerangan yang berterusan dan kena pada tempatnya.”

“Perlunya kita menerangkan kepada pengundi Melayu berulang kali yang jikalau DAP menang kesemua kerusi parlimen yang ditandinginya pun, ia tidak mampu membentuk kerajaan secara bersendirian ataupun menguasai kerajaan PR.”

“Hakikatnya, jikalau DAP menang kesemua kerusi yang ditandinginya sekalipun, parti bukan Melayu seperti MCA, MIC dan Gerakan sahaja yang kalah. Maksudnya hanya satu atau yang lain; tidak timbul kemungkinan DAP bergabung dengan MCA untuk memerintah Malaysia berseorangan.”

Tengku Zul#2

“Begitu juga dengan kaum Cina yang hanya membentuk majoriti lebih kurang 50 kerusi parlimen sahaja,” beliau menerangkan lagi.

Beliau juga berpendapat masyarakat Melayu perlu imbas kembali ke situasi pada tahun 1999 dimana majoriti Melayu bersedia untuk berubah, tetapi kaum bukan Melayu tidak.

“Sekarang pengundi Melayu harus melihat keputusan yang ada, kerana kekuatan DAP ada pada jentera pilihanrayanya yang lebih terancang dan berkesan berbanding dengan parti-parti PR yang lain.”

Beliau juga berpendapat situasi yang PR sedang alami sekarang adalah suatu hakikat untuk mendorongnya supaya lebih berusaha dalam menawan hati pengundi Melayu. “Hakikatnya kaum Cina sudah sedia berubah tetapi Melayu belum; ia bukan alasan untuk berputus harapan.”

“Kami di PR juga patut bersyukur kerana masih menguasai Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor. Dengan negeri-negeri ini kami masih mempunyai model pentadbiran baik yang boleh ditunjukkan kepada pengundi-pengundi negeri kawalan BN,” jelas beliau lagi. – Roketkini.com

Tiada ulasan: