Khamis, 26 September 2013

SPR akan adakan mesyuarat khas bincang kekosongan kerusi DUN Sungai Limau

THE MALAYSIAN INSIDER

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas sebaik menerima notis rasmi daripada Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah berhubung kekosongan kerusi DUN Sungai Limau berikutan kematian penyandangnya Tan Sri Azizan Abdul Razak.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata selepas menerima notis itu, yang dijangka esok atau lusa, pihaknya mempunyai tempoh masa 60 hari untuk mengadakan pilihan raya kecil.

"... bila dapat (notis) kami akan adakan mesyuarat khas bagi menentukan tarikh yang sesuai untuk hari penamaan calon dan hari mengundi bagi pilihan raya kecil," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

 Katanya beliau mengenali Allahyarham secara peribadi sebagai seorang yang berperwatakan baik dan suka berjenaka.

Beliau mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Allahyarham mempertahan kerusi DUN Sungai Limau yang dimenanginya sejak 1995 pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) Mei lalu, selepas menewaskan sepupunya Fazillah Mohd Ali dari Barisan Nasional (BN), dengan majoriti 2,774 undi.

Bekas menteri besar Kedah itu meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar pukul 11.05 pagi berikutan jangkitan kuman dan kegagalan organ dalaman yang pelbagai, selepas lebih empat bulan mengalami masalah kesihatan yang serius. - Bernama

Tiada ulasan: