Jumaat, 27 September 2013

Apa lagi ROS mahu? -Teresa Kok

teresa

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok mengecam kenyataan Ketua Pengarah Pendaftar Pertubuhan (ROS), Datuk Abdul Rahman yang mendakwa pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) perlu dibuat melalui Kongres Kebangsaan dan bukannya Kongres Khas.

Beliau berkata, kenyataan itu amat menghairankan dan membuktikan bahawa beliau tidak membaca dan memahami sepenuhnya perlembagaan DAP.

“Perlembagaan DAP memberi kuasa kepada pemilihan semula CEC yang akan diadakan samada melalui Kongres Kebangsaan atau Kongres Khas. Ini dinyatakan dengan jelas dalam perlembagaan parti.

“Apakah Abdul Rahman tidak baca perlembagaan DAP atau sengaja untuk sekali lagi membuat kami berada dalam kepayahan atas beberapa sebab politik? Apa lagi ROS mahu?,” soalnya dalam kenyataan medianya hari ini.

Menurut Teresa, dalam Kongres Kebangsaan notis 10 minggu akan diberikan kepada setiausaha cawangan bagi membolehkan mereka memiliki masa yang lebih dan cukup mengadakan mesyuarat cadangan resolusi, pindaan perlembagaan parti atau perniagaan tertentu untuk dibentangkan di Kongres serta menamakan calon-calon.

Bagi Kongres Khas, notis tidak kurang daripada 7 hari diperlukan untuk dihantar kepada semua cawangan dan perwakilan.

Teresa yang juga Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, turut menegaskan bahawa disebabkan tidak ada sebarang kontroversi dalam senarai calon yang digunakan dalam kongres Disember lalu, parti memutuskan tiada penamaan baru diperlukan dan kerana itu CEC memutuskan pemilihan semula melalui Kongres Khas 29 September ini.

“Tidak ada kontroversi dalam senarai calon pada Kongres lepas sebab itu penamaan calon baru tidak diperlukan, jadi apakah tidak logik untuk kami membuat pemilihan semula secepat mungkin melalui Kongres Khas?

“Notis sudah dihantar lebih awal untuk memberi perwakilan masa yang mencukupi berhubung Kongres Khas. PKF juga telah dilantik untuk bertindak sebagai pemantau walaupun tiada peruntukan dalam perlembagaan DAP bahawa akauntan luar perlu dilantik. Mereka sudah menjalankan kerja dengan mengkaji dan meneliti notis yang dihantar kepada perwakilan,” katanya.

Katanya lagi, ROS tidak mempunyai sebab untuk meminta surat asal dari 500 perwakilan yang disahkan bahawa mereka sudah dimaklumkan tentang Kongres lalu tetapi tidak dapat menghadirkan diri.

Beliau turut mengingatkan Abdul Rahman bahawa keputusan untuk mengarahkan pemilihan baru CEC tanpa alasan undang-undang yang sah adalah tidak adil dan tidak profesional.

“Melalui pelbagai serangan dalam kenyataan-kenyataan media, ianya membuktikan betapa beliau merupakan pegawai ROS yang kuat berpolitik. Sekali lagi saya ulangi, apa lagi ROS mahu?

“Abdul Rahman harus sedar bahawa sehingga hari ini beliau masih berhutang dengan DAP dan negara kerana tidak memberikan penjelasan terhadap keputusan yang dilakukan,” ujarnya. -Roketkini.com

Tiada ulasan: