KUALA LUMPUR - Parti-parti politik yang akan mengadakan pemilihan mereka tidak lama lagi perlu terbuka dan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menangani secara serius sebarang kes politik wang yang dilaporkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kuan berkata pengundi atau peserta dalam pelbagai pemilihan parti yang akan datang perlu menolak sebarang bentuk tarikan yang boleh mempengaruhi pendirian mereka.

Mereka perlu menunjukkan sikap integriti dalam melaporkan sebarang amalan rasuah yang dikesan kepada pihak berkuasa berkaitan, termasuk SPRM, kata beliau dalam kenyataan semalam.

"Pengewangan dalam proses pemilihan akan menjejaskan teras demokrasi, iaitu asas di mana negara ini telah ditubuh dan dibina atas pengorbanan dan kos yang besar kepada pihak berkepentingan utama - rakyat itu sendiri," katanya.

Low berkata memerangi rasuah di negara ini akan terhalang jika amalan politik wang terutama berkaitan dengan pemilihan parti, terus dibiarkan.

Beliau berkata terdapat banyak parti kini telah mengembangkan proses pengundian dengan membenarkan lebih ramai anggota layak memilih pemimpin mereka.

"Ini adalah satu usaha terpuji dan membantu meningkatkan ketelusan dalam proses pemilihan dan dapat mengurangkan potensi pengaruh politik wang dengan ketara," katanya.

Beliau juga berkata, pemimpin politik yang dipilih melalui proses sah tanpa pengaruh politik wang akan menikmati lebih kepercayaan dan kerjasama daripada pengundi mereka di masa hadapan. - Bernama