Jumaat, 27 September 2013

Dendam: DAP cabar menteri tegur Mukhriz

Harakahdaily,


KUALA LUMPUR: DAP mencabar Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menegur Menteri Besar Kedah yang ingin balas dendam secara terbuka, untuk membuktikan bahawa balas dendam bukan nilai politik Umno.

Demikian penegasan Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Teo Nie Ching dalam satu kenyataan.

Ini ekoran Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan semalam membidas dan menafikan dakwaan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bahawa kerajaan Persekutuan menghukum masyarakat Cina di kampung baru kerana tidak memilih Barisan Nasional pada PRU13 yang lalu.

Katanya, walaupun Abdul Rahman menafikan bahawa rancangan kerajaan untuk memindahkan tanggungjawab pembangunan kampung baharu kepada majlis kerajaan tempatan hanya menambah masalah birokrasi, tetapi sebagai hakikatnya, rancangan beliau juga tidak disokong oleh MCA, salah satu parti komponen BN.

Beliau berkata, sekiranya rakan seperjuangan beliau juga tidak percaya bahawa rancangan beliau adalah berniat suci, bagaimana Abdul Rahman ingin seluruh masyarakat Cina percaya bahawa ini memanglah bukan satu hukuman atau balas dendam.

Menurutnya lagi, kalau BN, terutamanya Umno memang tidak berniat untuk menghukum masyarakat Cina kerana tidak memilih Barisan Nasional pada PRU13 yang lalu, Datuk Abdul Rahman Dahlan juga perlu menjelaskan kenapa Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir kebelakangan ini berkata bahawa kerajaan negeri kini tidak akan melayan sebarang permintaan daripada Sekolah Cina dan mahu menumpukan bantuan Sekolah Kebangsaan berikutan perubahan undi Cina semasa PRU13 Mei lalu yang membelakangkan MCA dan BN.

“Sekiranya Datuk Abdul Rahman Dahlan memang ingin mempercayakan orang ramai bahawa beliau memang tidak berniat untuk menghukum masyarakat Cina, saya mencabar beliau untuk menegur Menteri Besar Kedah yang ingin balas dendam secara terbuka, untuk membuktikan bahawa balas dendam bukan nilai politik Umno.

“Adakah beliau berani?” tanya beliau yang juga Ahli Parlimen Kulai.

Tiada ulasan: