Orang
ramai melihat struktur runtuhan siling dan bumbung Masjid Kampung
Tebauk, Bukit Tunggal di sini dalam kejadian yang berlaku sekitar 4 pagi
tadi. Insiden runtuhan bumbung itu melibatkan kira-kira 40 peratus
bahagian masjid bernilai RM6 juta yang siap pembinaannya dua tahun lalu.
- Foto Bernama
KUALA TERENGGANU - Sebahagian bumbung dan siling Masjid Kampung Tebauk, Bukit Tunggal di sini runtuh awal hari ini.
Insiden itu dipercayai berlaku pukul 4 pagi ini melibatkan kira-kira 40 peratus bahagian masjid itu yang siap dibina dua tahun lepas melibatkan kos RM6 juta dan boleh memuatkan 1,000 jemaah.
Bilal masjid Man Mat, 61, berkata ketika tiba di pintu pagar utama, dia terkejut melihat sebahagian bumbung dan siling masjid runtuh dan segera memaklumkan kepada anggota jawatankuasa masjid.
"Saya tanya penduduk yang tinggal paling hampir dengan masjid ini dan mereka beritahu ada bunyi dentuman kuat kira-kira pukul 4 pagi tadi," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
"Masjid ini baru dua tahun digunakan dan sepanjang tempoh ini tidak ada tanda atau bunyi pelik melainkan sedikit kebocoran tetapi ia tidak serius," katanya.
Ini bukan laporan pertama mengenai masjid bumbung runtuh di negeri ini. Pada 20 Mei lepas, 12 jemaah masjid yang baru sahaja solat Isyak nyaris maut setelah bumbung hadapan Masjid Kampung Binjai Kertas, Hulu Terengganu runtuh.
Pada 3 Okt 2009, bumbung bahagian hadapan Masjid Kampung Batu Putih, Kerteh, Kemaman juga runtuh menyebabkan tiga mangsa cedera.
Selain itu, pada 2 Jun 2009, bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang menelan belanja RM292.9 juta telah siap dibina pada Mei 2008 dan digunakan dalam penganjuran Sukan Malaysia turut roboh.
Sebahagian struktur bumbung stadium berkenaan sekali lagi roboh pada 20 Feb lepas menyebabkan tiga pekerja parah manakala dua lagi cedera ringan. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan