PRK: SPR sasar 95 peratus undi awal
Anggota Tentera Udara DiRaja Malaysia, Pegawai Waran Udara II, Mohd Rosdi Abdullah menunjukkan jarinya yang bercelup dakwat kekal selepas melaksanakan tanggung jawab mengundi awal pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri N.01 Kuala Besut di Dewan Serbaguna Pangkalan Tentera Udara Gong Kedak di Besut, hari ini. - Foto Bernama
 
KUALA BESUT - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan peratusan keluar mengundi bagi pengundian awal PRK Dun Kuala Besut yang berlangsung hari ini adalah sebanyak 95 peratus.
  
Timbalan Pengerusinya Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata sehingga 11 pagi ini, peratusan keluar mengundi adalah 53 peratus dan jumlah itu dijangka meningkat menjelang petang nanti.
  
"Kalau kehadiran undi awal melebihi 95 peratus maknanya ia satu kejayaan kerana ada pegawai tidak berada dalam kawasan disebabkan terpaksa menghadiri kursus dan jemputan lain," katanya dalam sidang media selepas meninjau proses pengundian awal di Dewan Serbaguna Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) Gong Kedak di sini yang melibatkan dua saluran.
  
Wan Ahmad berkata pihak SPR telah mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan TUDM Gong Kedak supaya mengatur anggota yang layak mengundi untuk datang ke pusat pengundian secara berperingkat bagi mengelakkan kesesakan selain terpaksa beratur panjang.
  
Seramai 1,134 anggota tentera dan pasangan serta 14 anggota polis layak melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi awal PRK Dun Kuala Besut.

Para pegawai dan anggota kedua-dua pasukan keselamatan itu serta pasangan mula beratur seawal 7.30 pagi meskipun pusat pengundian hanya dibuka tepat 8 pagi.
  
Undian awal itu juga menyaksikan pengundi mencelup jari ke dalam dakwat kekal berwarna ungu, berbanding kaedah mencalit pada kuku semasa pilihan raya umum Mei lalu.
  
Menurut polis proses pengundian berjalan lancar.
  
Mengenai pengundian biasa pada 24 Julai ini, Wan Ahmad berkata SPR menjangkakan peratusan keluar mengundi adalah tinggi iaitu lebih daripada 95 peratus walaupun ia diadakan pada hari bekerja iaitu Rabu kerana ramai pengundi Dun Kuala Besut berkerja tidak jauh daripada kawasan pilihan raya itu.
  
Pada pilihan raya umum 5 Mei lalu, peratusan keluar mengundi bagi Dun Kuala Besut adalah 86.7 peratus.
  
Dalam pada itu, Wan Ahmad berkata SPR bercadang untuk mengumumkan keputusan rasmi PRK Kuala Besut pada pukul 10 malam bagi memberi peluang kepada pemimpin dan penyokong parti-parti yang bertanding untuk berbuka puasa dan seterusnya menunaikan solat sunat Tarawih.

"Walaupun semua kertas undi dalam 36 peti undi telah selesai dikira dan tahu keputusan, tapi pengumuman rasmi oleh pegawai pengurus hanya akan dibuat selepas jam 10 malam.
  
"Disebabkan ini bulan puasa maka di waktu malam tentulah pemimpin parti dan para penyokong akan pergi ke masjid, solat Maghrib, Isyak dan Tarawih, kita kenalah hormat," katanya.
  
PRK Dun Kuala Besut diadakan berikutan kematian penyandangnya Dr A. Rahman Mokhtar, 55, yang meninggal dunia 26 Jun lalu akibat kanser paru-paru.
  
Pilihan raya kecil itu menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN Tengku Zaihan Che Ku ABd Rahman dan calon Pas Endot@Azlan Yusof. - Bernama