Serangan di parkir sebabkan 2 parah
Salah seorang mangsa yang cedera di belakang kepala dan berlumuran darah selepas diserang tiga lelaki tidak dikenali awal pagi semalam.
 
GEORGETOWN - Dua parah diserang tiga lelaki tidak dikenali di tempat parkir motosikal di bawah sebuah flat di Paya Terubong awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5.10 pagi di tempat parkir di bawah Blok 5, Lintang Paya Terubong 3, Bandar Baru, Air Itam di sini.

"Maklumat awal mendapati, kedua-dua mangsa, diserang tiga lelaki tidak dikenali yang bersenjatakan parang ketika kedua-dua mangsa baru balik dari makan.

"Mangsa dikenali sebagai Chan Yong Fang, 35, dan Ooi Lean Keong, 45, yang bekerja sebagai pemandu pelancong.

“Kejadian berlaku ketika Lean Kong meminta Yong Fang yang bekerja sebagai mekanik memeriksa motosikalnya yang rosak untuk dibaiki sebelum diserang tiga lelaki yang datang dari arah luar," katanya.

Difahamkan ketiga-tiga suspek memasuki kawasan flat itu dengan memanjat pagar dan terus menyerang mangsa.

Menurutnya, ketiga-tiga suspek kemudiannya menyerang mangsa dengan parang sehingga kedua-duanya cedera parah.

“Selepas menyerang mangsa, suspek kemudiannya melarikan diri dengan menggunakan laluan yang sama.

"Mangsa yang cedera parah dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk mendapat rawatan," katanya.

Kong Meng berkata, Yong Fang mengalami cedera di belakang kepala sebelah kanan, belakang badan dan urat tangan kanannya putus dan kini dirawat di HPP.

Manakala Lean Keong pula mengalami kecederaan di tangan kiri dan siku kirinya turut patah selain urat tangan kirinya disyaki putus.

Kong Meng berkata, kedua-dua mangsa dilaporkan stabil dan pihaknya masih menyiasat motif kejadian.

“Kita masih memburu ketiga-tiga penyerang dan minta orang ramai yang ada maklumat, boleh menghubungi balai polis berhampiran atau datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut.

“Kes ini disiasat bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah,” katanya.