Ahad, 28 Julai 2013

Siapa pengganas, Amerika atau Hizbullah?

 
Siapakah sebenarnya syaitan dan 'paksi kejahatan'?

 

Politik Antarabangsa

Kesatuan Eropah (EU) Isnin lalu menyenarai-hitamkan sayap ketenteraan Hisbullah yang berpangkalan di selatan Lubnan.

Hizbullah yang dipimpin oleh Setiausaha Agung Sheikh Hassan Nasrallah adalah sebuah parti politik yang sah dan mempunyai anggota-anggota parlimen dalam kerajaan Lubnan.  Hizbullah juga merupakan sebuah gerakan Islam yang digeruni oleh musuh-musuh Islam.

Keputusan untuk menambah sayap ketenteraan Hizbullah itu dalam senarai “organisasi-organisasi pengganas” dicapai dalam mesyuarat yang dianggotai seramai 28 menteri luar EU berikutan tekanan dari Washington dan Tel Aviv.

Beberapa buah negara di Eropah menuduh penglibatan Hizbullah dalam serangan bom tahun lalu di kawasan peranginan Burgas dekat Laut Hitam di Bulgaria, yang mengorbankan lima pelancong Israel dan seorang rakyat Bulgaria. Hizbullah menolak dakwaan itu.

Bagaimanapun menteri-menteri luar EU mengakui bahawa penglibatan Hizbullah dalam memerangi para pemberontak yang disokong oleh Amerika dan Israel di Syria sebagai sebab utama keputusan itu diambil.

Setesen televisyen Lubnan, al-Manar mengecam tindakan EU itu dengan berkata, EU tunduk kepada Israel dengan keputusan menyenarai-hitamkan Hizbullah.

Menteri Luar Republik Islam Iran Ali Akbar Salehi mengecam tindakan EU itu sambil berkata, melabel Hizbullah sebagai pertubuhan pengganas yang menentang pencerobohan dan keganasan daripada kuasa-kuasa luar tidak boleh diterima.

Amerika dan Israel mengalu-alukan keputusan EU itu apabila Setiausaha Negara Amerika John Kerry menggesa negara-negara lain untuk turut mengikut jejak langkah EU.

Sebenarnya Barat sudah lama berniat untuk melabel Hizbullah sebagai sebuah pertubuhan pengganas kerana kekuatan sayap tenteranya untuk menghadapi musuh-musuh Islam terutama kemampuan mereka mengalahkan Israel dalam peperangan tahun 2000 dan 2006.

Sebab lain EU mahu mengharamkan pertubuhan itu ialah kerana hubungan rapatnya dengan Iran. Sejak tentera Amerika diusir dari bumi Iran berikutan Revolusi Islam pada tahun 1979 yang dipimpin oleh Imam Khomenei, Iran dianggap sebagai musuh utama.

Tindak tanduk

Tindak tanduk Iran dan Hizbullah mempertahankan kerajaan Syria daripada jatuh kepada kuasa Barat sebenarnya bukanlah untuk mempertahankan presidennya, Bashar Al Assad tetapi mempertahankan Syria dari takluk oleh Amerika dan Israel.

Kejatuhan kerajaan Bashar akan memberi laluan kepada Amerika untuk bertapak di Syria dan sekali gus memberi ancaman secara langsung kepada Iran seperti mana kejatuhan kerajaan Iraq di bawah pemerintahan Presiden Saddam Hussein yang berpusat di Baghdad pada tahun 2003.

Dalam memahami politik Timur Tengah, kita jangan mudah percaya dan terpedaya dengan dakyah Amerika yang dicanang oleh media-media Barat bagi membentuk persepsi kita yang salah lagi mengelirukan dalam menilai pergolakan politik antarabangsa.

Seperti mana yang terjadi kepada Saddam yang dituduh menyimpan senjata pemusnah raksasa – weapons of mass destruction (WMD). Tetapi apabila Saddam berjaya dijatuhkan oleh Amerika, WMD tidak pula ditemui.

Sebelum tercetusnya Perang Teluk, Iraq pernah berperang dengan Iran (1980-1988) hingga menyebabkan kematian kira-kira sejuta orang dari kedua-dua belah pihak akibat diperdaya dan dihasut oleh Amerika tentang ancaman kebangkitan Islam di Iran.

Saddam berjaya diperbodoh dan ditakut-takutkan oleh Amerika bahawa kononnya Revolusi Islam Iran akan merebak ke Iraq dan akan mengancam kedudukannya sebagai pemimpin Arab dan menimbulkan kebimbangan bahawa kemungkinan Iraq dikuasai oleh Iran.

Tetapi apa yang terjadi kepada Saddam sendiri selepas itu. Oleh kerana enggan mengikut telunjuk Amerika maka Amerika mencipta pelbagai alasan untuk memerangi Iraq dan menjatuhkan kerajaannya.

Begitu juga dengan kedudukan Hizbullah dan Lubnan itu sendiri. Sekiranya Amerika berjaya di Syria, ia bukan sahaja dapat menjamin keselamatan Israel tetapi memberi ancaman kepada Hizbullah kerana cita-cita Amerika untuk meluaskan pengaruhnya sehingga meliputi Laut Meditteranean.

Amerika pernah melabel negara-negara Islam seperti Iran dan Iraq sebagai ‘paksi kejahatan’ dan kejatuhan Syria akan memberi laluan bebas kepada Amerika untuk bergerak dan memantau kawasan-kawasan disekitar – dari Laut Meditteranean hingga ke Lautan Hindi.

Paksi kejahatan

Tetapi siapakah sebenarnya pengganas? Siapakah sebenarnya syaitan dan ‘paksi kejahatan’?. Dengan membantu, membiayai dan membekal para pemberontak dengan senjata dan logistik di Afghanistan, Iraq, Iran, Syria, Tunisia, Libya, Mesir dan banyak lagi negara, bukankah Amerika sebenarnya sebuah negara pengganas.

Bukankah Amerika yang menaja segala bentuk kejahatan dan keganasan di seantero dunia, khususnya di negara-negara Islam? Siapa pengganas, Amerika atau Hizbullah?

Tindakan EU ini sedikit pun tidak mengugat kedudukan politik dan ekonomi Lubnan atau lebih khusus Hizbullah. Seperti tindakan sekatan ekonomi Iran oleh Amerika dan sekutunya yang tidak memberi sebarang kesan, ekonomi Lubnan dan Hizbullah dipercayai tidak akan terjejas.

Ini kerana Perdana Menteri Lubnan Najib Mikati dilaporkan berkata, Lubnan kesal dengan keputusan EU menyenarai-hitamkan Hizbullah tetapi berkata Beirut akan terus mengekalkan hubungannya dengan negara-negara anggota EU sambil mengharapkan supaya keputusan itu ditimbang semula.

Tindakan EU juga sudah tentu dialu-alukan oleh negara-negara sekutu Amerika di Timur Tengah seperti Arab Saudi, Qatar, Emeriyah Arab Bersatu, Jordan dan Turki, yang turut menyokong para pemberontak Syria dengan membekalkan keperluan makanan dan senjata serta wang ringgit.

Akhirnya umat Islam, tanpa mengira etnik dan mazhab, berperang sesama sendiri. Inilah yang direncanakan oleh Amerika, umat Islam dan bangsa Arab bertelagah sesama sendiri seperti yang berlaku di Syria, Mesir, Yaman, Algeria, Tunisia, Libya dan lain-lain negara.

Tetapi mereka tidak sedar bahawa Amerika dan Israel memang tidak boleh dipercayai kalau kita melihat kepada apa yang berlaku kepada Saddam di Iraq. Saddam pada suatu masa dahulu menjadi sekutu kuat Amerika bertukar menjadi musuh dan akhirnya dimusnahkan oleh Amerika.

Apakah para pemimpin negara Arab lain akan menerima nasib yang sama seperti Saddam pada suatu hari nanti?

Tiada ulasan: