Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz, |
Kitalah yang bertanggungjawab atas masa depan bangsa kita. Dan bila saya sebut ‘kita’ tidaklah bermakna, Melayu itu mesti Melayu dalam UMNO. Orang Melayu dalam PAS, PKR bahkan DAP pun berhak menyuarakan hal-hal kepentingan bangsa Melayu.
Yang menyedihkan kita ialah pimpinan UMNO yang mengaku menjuarai bangsa Melayu mengkhianati kepentingan bangsa mereka sendiri. Yang menyedihkan kita ialah pimpinan UMNO yang menggunakan nama bangsa Melayu untuk kepentingan peribadi. Ini kita tak terima.
Najib sebagai pemimpin terrtingi UMNO memperlihatkan betapa lemahnya dia dalam menjaga kepentingan Melayu. Dalam masa pentadbiran PM yang dulu-dulu MIC hanya diperuntukkan satu kerusi menteri. Yang lain hanya layak jadi timbalan menteri. Sudah parti tersebut minoriti, tapi Najib memberi mereka tempat prominent dalam kabinet. Berapa orang India mesti dihadirkan dalam pentadbiran negara?
Mana ada wanita UMNO jadi menteri penuh? Najib meletakkan wanita dari Sarawak jadi menteri penuh yang tak tahu latar belakang di Semenanjung. Apa sudah jadi dengan Najib?
Ada orang UMNO yang sanggup mendedahkan rasuah di kalangan pimpinan UMNO? Ada yang sanggup mendedahkan soal kemiskinan di kalangan orang Melayu? Ada orang UMNO berani mendedahkan keperitan hidup orang Melayu? Jika tak berani, ketepi - saya boleh buat demikian. Saya boleh bercakap dan bersuara untuk bangsa saya di mana orang UMNO bacul dan tak berani.
Dari segi perjuagan UMNO sudah banyak menyimpang. Pimpinannya mementingkan diri sendiri. Aset orang Melayu seperti tanah, harta benda, saham tidak dijaga malah dibaham oleh pimpinan UMNO. Saham RM54 billion yang diperuntukkan di bawah DEB habis dijual oleh golongan elit Melayu untuk mengkayakan diri mereka. Pimpinan UMNO tak pandai mengurus aset bagi pihak orang Melayu. Tanah rezab Melayu tinggal sebahagian kecil dari yang asal dan tidak diganti. GLC banyak yang rugi walaupun dikendalikan oleh orang Melayu. GLC rugi tapi pimpinan GLC kaya raya.
PNB misalnya mahu membina menara dan bangunan yang tinggi menelan belanja berbilion ringgit. Perlukah PNB kepada bangunan baru? Kalau berbilion ringgit itu diagihkan dalam bentuk dividen bukankah itu lebih baik untuk orang Melayu?
Komitmen dan dedikasi pada perlaksanaan dasar-dasar yang menguatkan orang Melayu tidak mengiringi deklarasi dan pengucapan. Pimpinan UMNO lebih mengutamakan jeritan dan pekikan slogan daripada memberi isian kepada pengucapan. Najib terutamanya, lebih menyerlah pada segi melaungkan itu dan ini, tapi laungan tersebut tidak berisi.
Menjelang Perhimpunan Agung UMNO pada bulan Disember ini, pelbagai spekulasi telah dibuat. Adakah Najib akan dicabar? Jawapan ringkasnya, ya dia akan dicabar. Pencabarnya ialah Muhyiddin Yassin. Walaupun Muhyiddin dilaporkan sebagai berasa letih untuk berlawan, dia tidak ada pilihan lain. Jika dia tidak mencabar, dia akan dipinggirkan sedikit demi sedikit. Bukan rahsia lagi, Najib membarisi tenaga-tenaga untuk mengepung dan mengekang Muhyiddin. Jika Muhyiddin tidak berbuat sesuatu, masa depannya akan gelap dan masa depan UMNO sebagai sumber pengharapan orang Melayu pun akan muram.
Ketika Pak Lah hanya memenangi 140 kerusi parlimen tapi undi popularnya 51%, Muhyiddin mengepalai gerakan untuk mengusir Pak Lah. Akhirnya Pak Lah terpaksa berhenti jadi presiden UMNO dan PM. Menantunya tinggal dalam kegelapan manakala pimpinan setara dengan KJ mendapat tempat dalam pentadbiran negara.
Jika Muhyiddin tidak menggesa Najib berhenti, maka dia akan dilihat sebagai tidak konsisten. Ternyata Najib gagal dalam banyak hal. Twitternya dan blognya tidak akan dapat menyembunyikan kekosongan dalam diri Najib. Dia hanya lebih dari segi bentuk, tapi kurang dalam segi isi.
Dia gagal bila berjaya mendapat hanya 133 kerusi parlimen berbanding dengan Pak Lah 140 kerusi. Undi popular dalam tangan Najib hanya 47% berbanding Pak Lah dengan undi popular 51%. Betul UMNO menang lebih banyak kerusi tapi kemenangan itu disebabkan gerrymandering. Kepadatan pengundi yang kurang dalam kawasan yang ditandingi oleh UMNO membenarkan Najib memenangi lebih banyak kerusi untuk UMNO. Bawah pimpinan Najib, parti MCA hanya menang 7 kerusi parlimen berbanding dengan di bawah Pak lah di mana MCA menang 15 kerusi.
Najib gagal mendapat 2/3 kerusi parlimen. Najib gagal menawan Selangor. Perak hanya menang tipis. Terengganu menang tipis juga. Buat pertama kali di Negeri Pahang, ada 12 Adun pembangkang dalam dewan undangan negeri.
ETP, GTPnya lebih indah khabar dari rupa. Dari jauh kelihatan jelita, bila dekat mendukacitakan. Itu kita bincang di bahagian lain. - http://sakmongkol.blogspot.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan