Isnin, 29 Julai 2013

Keabsahan 2 menteri, 3 timbalan diketahui di mahkamah esok

OLEH V ANBALAGAN, 
PENOLONG PENGARANG BERITA



Persoalan mengenai kelayakan dan keabsahan sebagai senator menyelubungi isu pelantikan dua menteri dan tiga timbalan menteri.

Mereka ialah Datuk Seri Abdul Wahid Omar dan Datuk Paul Low (gambar), selain P Waythamoorthy, Dr Loga Bala Mohan dan Datuk Ahmad Bashah Md Hanipa.

 Abdul Wahid dan Low dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Waythamoorthy selaku timbalannya manakala Dr Loga (Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan) dan Ahmad Bashah (Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri)

Mengikut Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, sebaik sahaja Perdana Menteri menamakan mereka sebagai senator, mereka terus menjadi ahli Dewan Negara.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen DAP, M Kula Segaran mempertikaikannya kerana berpendapat, seseorang calon senator mesti mengangkat sumpah di Dewan Negara, terlebih dahulu.

Hanya selepas itu, katanya, seseorang senator itu mengangkat sumpah sebagai menteri dan timbalan menteri dan ia menjadi amalan sebelum ini.

Masalah interpretasi Perlembagaan Persekutuan itu bagaimanapun, hanya dirungkai di Mahkamah Tinggi, esok.

The Malaysian Insider difahamkan, Gani sendiri mewakili kerajaan dalam membantah permohonan Kula Segaran yang diwakili peguam, CK Lim.

Jabatan Peguam Negara dalam penyataan bertulis menyatakan hujah Kula Segaran remeh dan tidak perlu diperdebat

"Permohonan itu patut diketepi," katanya.

Kerajaan berpendapat, sebaik sahaja Yang di Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri melantik seseorang senator, individu itu terus menjadi ahli Dewan Negara.

"Artikel 59 Perlembagaan Persekutuan menunjukkan secara jelas dan nyata bahawa seseorang mesti menjadi senator sebelum mengangkat sumpah," kata Gani.

Kula Segaran memfail permohonan pada 19 Jun lalu untuk memperoleh pengisytiharan pelantikan mereka sebagai tidak mematuhi Perlembagaan.

"Perlu pematuhan tegas terhadap Artikel 43 Perlembagaan Persekutuan. Mereka mesti menjadi ahli sama ada Dewan, yang bermakna mereka mesti dipilih sebagai ahli parlimen atau bersumpah sebagai senator sebelum dilantik menjadi menteri atau timbalan menteri," katanya dalam permohonan itu.

Beliau mahu segala keistimewaan dan kelebihan kewangan semua lima respondan itu dipulangkan kepada kerajaan dalam masa tujuh hari yang ditetapkan mahkamah. -

Tiada ulasan: