Rabu, 31 Julai 2013

PAS: Mahkamah p'raya sempitkan undang-undang



 
Peguam PAS Hanipa Maidin berkata parti itu kini tiada pilihan selain membuat laporan polis selepas Mahkamah Pilihan Raya menolak alasan undang-undang dalam petisyen yang dikemukakannya.

Katanya, mahkamah antara lainnya menolak petisyen PAS berhubung kesalahan dalam borang penjumlahan undi – dikenali dengan nama Borang 14 – yang didakwa dilakukan oleh Ketua Tempat Mengundi (KTM) semasa pilihan raya umum 5 Mei lalu.

"Dia sempitkan lagi undang-undang... Sepatutnya kesalahan itu di bawah Seksyen 4 (a) Akta Kesalahan Pilihan Raya. Tetapi mahkamah memberikan alasan, kesalahan yang dilakukan KTM itu bercanggah.

“Mahkamah kata tak boleh guna seksyen tersebut kerana kesalahan itu berkaitan dengan jenayah.

"Sekarang ini kita akan buat laporan polis besar-besaran di seluruh Malaysia kerana mahkamah kata ini kesalahan jenayah," katanya dalam sidang media di ibu pejabat PAS petang ini.

Katanya mahkmah menetapkan hanya dua undang-undang yang boleh digunakan untuk memfailkan petisyen – Peruntukan Pilihan Raya (Perjalanan Pilih Raya 1991) dan Peraturan Berkaitan Undi Pos.

Tambahnya, mahkamah menggunakan alasan tersebut untuk menolak petisyen yang dikemukakan PAS setakat ini.

Hanipa juga berkata, PAS turut akan menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengkaji semula perlantikkan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Sementara itu, timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu pula berkata, beliau kecewa dengan pengendalian petisyen berkenaan yang disyakinya dijalankan mengikut arahan pihak tertentu.

"Kita kecewa dengan kendalian petisyen. Tahun ini nampak luar biasa. Macam ada arahan tertentu untuk kes ini tanpa dibicarakan. Kos yang dituntut luar biasa.

"Secara umumnya rasa pelik apa yang berlaku. Ini meletakkan pengendalian undang-undang kita pincang," katanya.

Mahkamah setakat ini telah menolak 11 daripada 16 petisyen yang dikemukakan PAS.

Lima lagi yang petisyen yang belum diputuskan melibatkan Nusa Jaya dan Gambir di Johor, Klawang di Negeri Sembilan serta Hulu Besut dan Kuala Berang di Terengganu.

Tiada ulasan: