Rabu, 31 Julai 2013

Saksi tak hubungi bekas MB isu larangan azan



 
Bekas setiausaha Masjid Kota Damansara, Petaling Jaya memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, beliau tidak pernah menghubungi bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo bagi mendapat kepastian berhubung kenyataannya mengenai isu larangan azan yang diterbitkan Utusan Malaysia lima tahun lepas.

Menjelaskan mengapa beliau tidak berbuat demikian, Ahmad Redzuan Samsudin, 32, dalam keterangannya berkata: "Siapa saya untuk menghubunginya (Dr Mohamad Khir)".

Ahmad Redzuan berkata demikian ketika disoal peguam Mohana Kumar TKB, yang mewakili Utusan Malaysia dan kolumnis Datuk Mohd Zaini Hassan, dalam perbicaraan kes saman fitnah RM30 juta yang difailkan anggota Parlimen kawasan Seputeh, Teresa Kok Suh Sim.

Ahmad Redzuan juga hanya mendiamkan diri ketika disoal Mohana Kumar berhubung berlaku ketidakadilan terhadap bekas Menteri Besar Selangor itu disebabkan beliau tidak menghubunginya untuk bertanyakan hal tersebut.

Bagaimanapun, saksi kelima plaintif itu berkata beliau tidak bersetuju dengan cadangan Mohana Kumar bahawa Dr Mohamad Khir mempunyai maklumat lain berhubung isu itu yang mana beliau (Ahmad Redzuan) tidak mengetahuinya.

Ahmad Redzuan, yang juga ahli perniagaan, berkata selaku setiausaha masjid pada masa itu, beliau mempunyai pengetahuan mengenai apa yang berlaku kerana sebagai masjid tunggal di Kota Damansara yang turut menaungi surau-surau lain, segala hal ehwal berkaitan masjid adalah dalam maklumannya.

Beliau juga memaklumkan kepada mahkamah bahawa laporan polis dibuat pihak Masjid Kota Damansara pada 10 Sept 2008 selepas Utusan Malaysia mengeluarkan artikel bertajuk "Ada Usaha Larang Azan di Masjid-Masjid Selangor" pada 9 Sept 2008.

"Setelah membaca artikel itu, anggota jawatankuasa (AJK) masjid telah mengadakan satu mesyuarat pada sebelah malam (9 Sept) di mana AJK telah memutuskan untuk membuat laporan polis bagi mengesahkan bahawa fitnah (apa yang dilaporkan) Utusan Malaysia dalam artikel itu adalah palsu," katanya yang kini bertugas sebagai nazir di Masjid Kota Damansara.

Ketika ditanya Mohana Kumar sama ada terdapat minit mesyuarat pada 9 Sept 2008, Ahmad Redzuan berkata: "Tidak ada, yang ada hanya minit mesyuarat pada 13 Sept, selepas laporan polis dibuat".

Pada 9 Okt 2008, Kok memfailkan saman itu dengan mendakwa ia membawa maksud beliau seorang yang tidak boleh dipercayai, ahli politik yang jahat, bersikap perkauman dan anti-Islam.

Kok, yang diwakili peguam S N Nair, mendakwa artikel itu disiarkan semula dan diedar di seluruh Malaysia dan dunia menerusi perkhidmatan online Utusan, dan akibatnya, reputasi dan kewibawaan beliau tercemar di dalam negeri dan di peringkat antarabangsa.

Perbicaraan di hadapan Hakim Siti Khadijah S Hassan Badjenid bersambung 29 Ogos ini.- Bernama

Tiada ulasan: