KUALA TERENGGANU - Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan) menggesa Kementerian Dalam Negeri merombak kepimpinan Lembaga Penapisan Filem (LPF) bagi memastikan kes seperti filem 'The New Village' tidak berulang.
  
Setiausaha Agungnya Syed Anuar Syed Mohamad berkata tindakan LPF meluluskan penayangan filem itu dalam tempoh singkat menunjukkan ada unsur tidak cakna dengan suasana semasa negara.
  
"Gagasan hairan dan terkejut pihak LPF hanya mengambil masa tiga hari untuk meluluskan filem itu sebagaimana kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam.
  
"Apakah garis panduan dan kriteria yang diguna yang menyebabkan sesingkat itu masa yang diambil berbanding dengan filem 'Tanda Putera'," katanya kepada Bernama, di sini hari ini.
  
Media semalam melaporkan pendedahan sebuah blog mengenai filem 'The New Village' yang dilihat mengangkat Parti Komunis Malaya sebagai 'hero' dan mempersoal bagaimana filem itu boleh ditayang pada bulan kemerdekaan sedangkan filem 'Tanda Putera' yang mengisahkan perjuangan pemimpin negara mendepani insiden 13 Mei terpaksa ditangguh berkali-kali.

Dalam reaksi balasnya Ahmad Zahid dilapor berkata penayangan filem 'The New Village' ditangguh bagi membolehkan LPF meneliti semula kandungan filem itu.
  
Mengulas lanjut, Syed Anuar berkata Gagasan juga berpandangan LPF harus memperketatkan syarat tayangan terhadap filem yang dilihat dapat merosakkan fikiran masyarakat seperti memaparkan keganasan melampau, kurafat dan seks.
  
Ini kerana katanya sejak kebelakangan ini terlalu banyak filem kurafat yang berselindung sebagai filem seram keluaran industri filem tempatan dan Indonesia ditayangkan kepada masyarakat di negara ini. - Bernama