Namun, kumpulan asalnya, Rabbani tetap memperingati dan mendoakan beliau sehingga ke hari ini.

Sempena bulan Ramadan kali ini, Rabbani sekali lagi telah mengadakan majlis tahlil, Majlis Tribute Arwah Ustaz Asri Ibrahim dan kali ini ia dijalankan di Ndah Mahligai, Shah Alam.

Pada majlis sama, seramai 30 orang penghuni dari Yayasan Penyayang turut diraikan.

Selain berbuka puasa bersama-sama, penghuni Yayasan Penyayang ini juga turut digembirakan dengan penyampaian duit raya.

Ketika ditanya tentang kenangan bersama arwah Ustaz Asri yang masih diingati, salah seorang anggota Rabbani, Azadan Abd Aziz dilihat sebak.

"Apabila disebut sekarang, yang paling saya tak dapat lupakan adalah memakaikan dia butang baju Melayu.

"Hampir setiap tahun, kami bersama di pagi raya. Butang terakhir itu selalunya, saya yang akan pakaikan," katanya kepada Sinar Harian Online.

Allahyarham Ustaz Asri juga disifatkan sebagai pemaaf dan pemurah.

"Beliau sangat baik, pemaaf dan suka meraikan kawan-kawan," kata Azadan lagi.

Pelbagai kenangan tersimpan rapi dalam hati setiap anggota Rabbani dah setiap peminatnya.

Arwah meninggal dunia akibat serangan jantung pada 13 Ogos 2009.

Turut hadir anggota kumpulan nasyid yang lain seperti In-Team, Mastica, Wildan, Amrian, R-if dan Abadi serta pelakon, Didie Alias.