Rabu, 31 Julai 2013

500 demo bantah pindah kampus KUIN

Harakahdaily,


Pelajar, ibu bapa, kakitangan dan penduduk kampung demo bantah perpindahan KUIN dari Kuala Ketil

KUALA KETIL: 500 pelajar, waris dan penduduk Kuala Ketil berkumpul di hadapan pintu gerbang utama Kolej Universiti Insaniah (KUIN) kampus Kuala Ketil petang semalam bagi mendesak agar kampus itu dikekalkan.

Pelajar, ibu bapa dan penduduk Kuala Ketil membantah perpindahan KUIN dari sini

Ini berikutan arahan berpindah yang mereka terima dari pihak pentadbiran KUIN 16 Julai lalu yang mengarahkan semua pelajar berpindah semula ke kampus Stargate, Alor Setar.


KUIN merupakan sebuah kolej yang telah mengislamisaikan program-program konvensional seperti Program Perniagaan, Perbankan, Perancangan Kewangan, Risiko dan Takaful, Hospitality dan Pemakanan Halal dan lain-lain lagi.

Kampus KUIN Kuala Ketil yang bernilai RM330 juta itu adalah lagenda tinggalan Menteri Besar Kedah sebelum ini, Datuk Seri Azizan Razak.

Bagi ustaz Azizan, pembinaan kampus KUIN di sini akan menjadikan Kuala Ketil satu bandar baru yang bakal membangun dengan pesat selepas ini.

Kampus ini mula digunakan awal tahun ini dan dirasmikan oleh Yang Dipertuan Agong, Tuanku Al-Haj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah pada bulan Mei lalu.

Kampus tetap KUIN di Kuala Ketil bernilai RM330 juta yang dibina ketika ustaz Azizan menjadi MB Kedah

Ekoran itu, pelajarnya dan kakitangan dipindahkan dari kampus sementaranya yang terletak di Stargate dan Mergong sebelum itu.

Namun selepas Kedah diambil alih oleh Barisan Nasional (BN) dan Datuk Mukhriz Mahathir menjadi Menteri Besar, kampus ini dikatakan mahu dijual.


Ia juga mungkin diswastakan apabila timbul desas desus bahawa kerajaan negeri membuka tawaran penjualan saham miliknya kepada beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan.

Kerajaan negeri dikatakan sudah membuat tawaran itu termasuk kepada Universiti ITM (UiTM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Aimst dan Universiti Antarabangsa Al-Bukhary (AiU).

Difahamkan Universiti Selangor (Unisel) turut berminat untuk membeli Insaniah daripada kerajaan negeri.

Sejak beberapa bulan lalu, selain pelajar yang menjadi mangsa, kakitangan Insaniah juga tidak mendapat gaji mereka.

Dalam perhimpunan semalam, wakil pelajar yang turut berucap mengesa pentadbiran kolej mengeluarkan pekeliling pindah untuk rujukan pihak pelajar selepas pengumuman yang telah di umumkan pada 16 julai yang lalu dibuat tanpa disusuli dengan pekeliling perpindahan.

Beliau juga menyatakan agar pihak pentadbiran dapat mengekalkan KUIN Kuala Ketil.


Perpindahan yang akan melibatkan 1200 orang pelajar Fakulti Muamalat akan bermula 1 Ogos sehingga 17 Ogos akan datang.


Seorang bekas pekerja KUIN berucap dalam perhimpunan itu


Ia akan disusuli dengan 600 orang pelajar kulliyyah lain menyebabkan banyak menganggu proses pembelajaran dan pengajaran mereka malah melibatkan masalah kebajikan juga.

Memorandum yang telah dihantar ke peringkat pentadbiran kolej dan Pejabat Menteri Besar pada 25 Julai yang lalu belum mendapat jawapan sehingga kini.

Manakala pihak Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia pula akan mengambil tindakan terhadap memorandum yang telah dihantar oleh mahasiswa. 

Wakil waris juga meminta pihak pentadbiran kolej dan pihak kerajaan negeri mengambil serius berkaitan masalah ini kerana melihat kepada kebajikan pelajar yang akan terganggu dengan perpindahan kali ke tiga ini.

Selepas perpindahan kali pertama dari Mergong ke Stargate dan perpindahan kali kedua dari Stargate ke Kuala Ketil, kini mereka akan berpindah lagi.

Tiada ulasan: