SHAH ALAM – Pas Selangor senada dengan pendirian Pas Pusat yang akan menggugurkan ahlinya daripada parti itu sekiranya didapati terlibat dengan ajaran Syiah.

Pesuruhjayanya, Dr Abd Rani Osman menegaskan, Pas tidak meletakkan syarat tertentu menjadi ahli dan sesiapa sahaja boleh anggotai parti Islam itu, bagaimanapun, mereka tidak boleh membawa ideologi masing-masing ke dalam Pas.

“Orang Syiah, Khawarij, Tabligh atau Umno boleh masuk (menjadi ahli Pas), tapi bila dia masuk, mereka tidak boleh bawa masuk fahaman itu dalam Pas. Mereka kena ikut acuan Pas mengikut Ahli Sunnah wal Jamaah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendirian Pas Pusat menerusi Ketua Penerangannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa ahli parti yang didapati bawa fahaman Syiah akan tersingkir daripada parti itu secara automatik.

Dalam pada itu, Dr Abd Rani menegaskan, tiada ahli Pas Selangor terlibat dengan Syiah dan beliau minta pihak punyai bukti berhubung dakwaan kaitkan ahli Pas dengan Syiah itu tampil kemukakannya.

Katanya, jika didapati ada ahli Pas terlibat dengan fahaman itu, mereka akan diberi ‘kata dua’ sama ada dikenakan tindakan disiplin atau disingkirkan sebagai ahli Pas.
“Setakat ini, tiada Syiah dalam Pas. Kalau ada bukti, beri kepada kita. Kita akan panggil (individu berkenaan) dan siasat.

“Kalau betul didapati ada (ahli amalkan) Syiah, kita tak singkirkan (ahli) begitu saja, sebaliknya kajian akan dilakukan sebelum tindakan diambil,” katanya.

Menurutnya, Dewan Harian Pas Negeri yang dianggotai beliau bersama pimpinan tertinggi negeri sentiasa memantau sebarang pergerakan berkaitan salah laku ahli.