Ahad, 28 Julai 2013

Filem ‘komunis’ bakal ditayang, Tanda Putera terus terperap

Oleh Hasbullah Awang Chik



Pengamal rasis yang agresif akan mendapat lebih perhatian di Malaysia, tulis Awang Selamat, kolumnis akhbar milik Umno, Utusan Malaysia dalam edisi Ahad, Mingguan Malaysia.

Beliau membuat keseimpulan itu ketika mengulas filem The New Village (TNV) yang bakal ditayang bermula 22 Ogos ini berbanding filem Tanda Putera yang tiga kali ditangguh tarikh tayangannya.

“Ketika Tanda Putera ditekan habis-habisan, dalam diam rupa-rupanya ada pihak menerbitkan filem The New Village dengan membawa perspektif serong.

 “Khabarnya, filem itu mengangkat Malayan People Anti Japanese Army(MPAJA) yang mempunyai pertalian dengan Parti Komunis Malaya (PKM)sebagai pejuang kemerdekaan,” tulisnya, hari ini.

Awang turut menyelar sikap pihak tertentu kerana terlalu berhati-hati dan beralah dalam berkompromi terhadap isu yang cuba ditonjol dalam Tanda Putera.

Kolumnis itu turut menuduh penerbit filem TNV mahu menulis semula sejarah dengan mengangkat perjuangan komunis serta menggesa penerbitnya,tidak lupa daratan.

“Penerbitan filem berkenaan sebagai satu usaha mengiktiraf perjuangan komunis termasuk Chin Peng.
“Tidak masuk akal TNV mendapat kebenaran Finas untuk ditayang terlebih dahulu berbanding Tanda Putera yang telah lama terperap,” katanya.

TNV diarahkan oleh Wong Kew Lit dan diterbitkan oleh Astro Shaw serta barisan pelakonnya tidak membabitkan pelakon Melayu mahupun India.

Filem itu berkisarkan kejadian darurat di Tanah Melayu pada 1949 serta mempaparkan Parti Komunis Malaya(PKM) dan Malayan People Anti Japanese Army (MPAJA) sebagai pejuang kemerdekaan.

TNV memaparkan tindakan British ke atas orang Cina pada zaman darurat serta watak utama dalam filem ialah anggota MPAJA yang ada pertalian darah dengan PKM, mengikut laporan Pancaindera, sisipan akhbar itu.

Penulis mempersoal sikap pilih kasih terhadap Tanda Putera sambil menyelar tiada pihak yang tampil membantah filem TNV.

Tanda Putera mengisahkan persahabatan dan perjuangan Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein dan timbalannya, Tun Dr Ismail Abdul Rahman dalam tragedi 13 Mei 1969.

Filem arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba itu dibantah oleh pembangkang kerana memberi gambaran salah mengenai tragedi hitam 13 Mei 1969.

“Tanda Putera arahan Shuhaimi Baba dituduh rasis sedangkan hakikatnya ia memaparkan fakta sejarah rusuhan kaum 13 Mei.

“Pada Awang, filem itu wajar ditonton dalam kerangka memperkukuhkan patriotisme dan membuka mata semua pihak tentang perlunya menjaga keharmonian.”

Tiada ulasan: