Isnin, 29 Julai 2013
Campur tangan kerajaan penyebab salah guna kuasa dalam pasukan polis
Roketkini.com
BUKIT MERTAJAM: Campur tangan kerajaan dalam urusan pihak polis adalah punca utama kadar jenayah dalam negara semakin tidak terkawal.
Ahli Parlimen DAP Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong berkata, ini berdasarkan pendedahan Pengerusi MyWatch, R Sri Sanjeevan berhubung pembabitan pegawai tinggi polis dalam sindiket jenayah terancang mengakibatkan beliau ditembak baru-baru ini.
Menurut Steven, campur tangan itu bukan perkara baru kerana sebelum ini bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Ramli Yusuf pernah mendedahkan skandal ‘Copgate’, di mana pegawai polis termasuk bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hasan sendiri dan pejabat Peguam Negara didakwa bersubahat dengan ketua kongsi gelap.
Katanya, Musa sendiri turut menyatakan bahawa kerajaan termasuk Menteri Kabinet sering campur tangan dalam urusan polis yang berkemungkinan untuk kepentingan peribadi mereka.
“Semua ini adalah tuduhan yang serius, namun sehingga hari ini tidak ada sebarang langkah yang dilakukan.
“Apabila saya membangkitkan pendedahan Musa itu pada persidangan Parlimen lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim menolaknya dan mendakwa campur tangan itu hanya bermaksud ‘meminta bantuan daripada pihak polis sahaja’.
“Sikap itu menunjukkan kekurangan komitmen kerajaan untuk menyelesaikan perkara itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAPSY Kebangsaan turut menyelar tindakan mengecam campur tangan itu yang sengaja dilakukan demi kepentingan politik dan peribadi sehingga mencalar dan menjatuh kredibiliti polis.
“Masalahnya jelas, pasukan polis kita tidak bebas. Disebabkan salah guna kuasa polis oleh kerajaan sekian lama, maka wujud pula ‘budaya salah guna kuasa’ di dalam PDRM, menjadikan pasukan polis kita tidak cekap.
“Bagi memastikan polis melaksanakan kehendak politik parti pemerintah, maka kerajaan menutup satu mata terhadap ‘budaya salah guna kuasa’ ini. “Malaysia bukan China, justeru kita tidak perlu pasukan polis yang berideologi politik untuk membela kepentingan parti pemerintah.
Apa yang kita perlu ialah pasukan polis profesional untuk membela keselamatan dan kesejahteraan semua rakyat,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau juga menggesa kerajaan agar segera melaksanakan Suruhanjaya Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) seperti yang disaran oleh laporan Suruhanjaya Diraja Tun Dzaiddin 2005.
“Saya sudah beberapa kali mencadangkan sedikit pindaan kepada IPCMC supaya badan bebas yang ditubuhkan juga diberi kuasa membuat keputusan dalam hal ehwal kenaikan pangkat dalam PDRM.
“Ini kerana, pembaharuan yang dilaksanakan tidak dilihat sebagai ‘menghukum’ polis semata-mata tetapi juga memberi ganjaran kepada ‘polis yang baik’ dan urusan kenaikan pangkat dalam polis perlu dilaksanakan secara telus dan berdasarkan pencapaian bukan atas faktor campurtangan politik.
“Tiada cara lain, selain memasti dan menjamin pasukan polis yang bebas campurtangan politik dan ini tidak dapat dicapai melalui pembaharuan separuh masak seperti Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasa (EAIC) yang hilang kredibilitinya,” ujarnya.-Roketkini.com
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan