Tiada tempat dalam dunia ini yang mempunyai terlalu banyak kontroversi berhubung penggunaan dakwat kekal dalam pilihan raya.
Apakah kandungannya? Berapa banyak nitrat perak? Mengapa ianya mudah
ditanggalkan? Siapakah pengedar? Ini adalah persoalan yang timbul
semenjak 2011, dua tahun sebelum pilihan raya umum pada 5 Mei.
The Malaysian Insider menyiarkan semula beberapa kenyataan yang
dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai dakwat kekal.
- 19 Disember, 2011: Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof
mengumumkan dakwat kekal akan digunakan dalam PRU13 untuk menghalang
pengundian berulang. Beliau memberi jaminan dakwat akan mengandungi 4
hingga tujuh peratus nitrat perak yang boleh tahan sehingga tujuh hari.
SPR mengumumkan penggunaan dakwat kekal selepas didesak oleh Bersih dan
parti pembangkang.
- 14 Mac, 2012: SPR mengatakan akan terdapat dua dakwat kekal dengan
warna berlainan untuk membezakan pengundi awal dan pengundi biasa.
- 24 Mei, 2012: Bersih mahu tahu mengapa peraturan yang dibuat SPR
berhubung penggunaan dakwat kekal tidak dilanjutkan kepada penggundi
awal. Bersih juga mempersoalkan keberkesanan meletakkan satu garis
dakwat kekal di jari berbanding mencelupkan jari ke dalam dakwat kekal.
- 11 April, 2013: Abdul Aziz memberi jaminan kepada orang awam dakwat
kekal yang akan digunakan dalam PRU13 akan berbeza dengan dakwat-dakwat
di luar sana bagi menggelakkan ianya disalahgunakan. – 15 Julai, 2013.
- 30 April: Pengundian awal bermula dan beberapa laporan polis
dibuat berhubung dakwat kekal yang mudah ditanggalkan dengan menggunakan
gel dan sabun. Mendengar tentang ini, Abdul Aziz mengatakan oleh kerana
laporan polis sudah dibuat, terpulang kepada pihak polis untuk
menyiasatnya. Ini bertentangan dengan kenyataan Abdul Aziz sebelum ini
yang mengatakan dakwat tahan selama tujuh hari.
- 1 Mei: SPR membuat ujian yang mengatakan dakwat kekal tahan lebih
lama jika botol digoncangkan terlebih dahulu sebelum digunakan
berbanding yang tidak digoncangkan.
- 3 Mei: Naib Presiden PKR Chua Tian Chang dan Nurul Izzah Anwar
menggesa SPR untuk menghantar dakwat kekal untuk diuji akan tetapi SPR
enggan.
- 4 Mei: Abdul Aziz mengatakan dakwat yang digunakan di Malaysia hanya mengandungi 1 peratus nitrat perak.
- 5 Mei: Ribuan pengundi membuat laporan polis semasa hari mengundi
oleh kerana dakwat kekal boleh ditanggalkan selepas beberapa jam
mengundi. Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar mengatakan
beliau tidak boleh mengesahkan kualiti dakwat kekal. Abdul Aziz
mengatakan Kementerian Kesihatan menghantar surat kepada SPR menggesa
nitrat perak tidak boleh melebihi satu peratus untuk tujuan kesihatan.
Akan tetapi kenyataan ini dinafikan oleh Kementerian Kesihatan pada 6
Jun. Sehingga hari ini, SPR masih belum menunjukkan surat Kementerian
Kesihatan itu.
- 7 Mei: Wan Ahmad mengatakan SPR menyimpan dakwat kekal dibalai
polis untuk keselamatan dan oleh kerana disimpan dengan terlalu lama,
kandungan dakwat itu menjadi semakin nipis.
- 13 Mei: Abdul Aziz menyalahkan kegagalan dakwat kekal kepada pengundi yang tangannya berminyak.
- 21 Mei: Abdul Aziz mengatakan pasukan khas ditubuhkan untuk
mengkaji mengapa dakwat kekal mudah dibasuh. Sehingga hari ini, tiada
laporan dikeluarkan.
- 23 Mei: Setiausaha SPR Datuk Kamaruddin Mohamed Baria mengatakan
sesetengah petugas SPR mungkin gagal menggunakan dakwat dengan betul
semasa hari pengundian.
- 17 Jun: Abdul Aziz mengakui kegagalan dakwat kekal.
- 26 Jun: Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan
Kassim memberitahu Parlimen SPR menggunakan pewarna makanan dan bukannya
nitrat perak dalam dakwat kekal.
- 27 Jun: Wan Ahmad mengatakan nitrat perak digunakan dan bukannya
pewarna makanan tetapi mengatakan kandungannya 4 peratus dan bukannya 1
peratus.
- 28 Jun: Shahidan mengatakan SPR tidak bertanggungjawab dalam
menentukan kadungan nitrat perak yang akan digunakan dalam PRU13.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan