Harakahdaily, |
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengalu-alukan gesaan unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) Jabatan Perdana Menteri supaya perubahan lebih radikal dibuat dalam usaha memerangi rasuah di Malaysia di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Membanteras Rasuah.
Bagi DPPM, usaha radikal Pemandu perlu digalakkan dan disambut baik semua pihak kerana Pemandu mewujudkan suatu kesedaran bahawa rasuah adalah jenayah dan musuh yang menghancurkan negara.
Ketua Penerangannya, Riduan Mohd Nor berkata, jenayah rasuah tidak boleh dipandang ringan dan dibiarkan begitu sahaja sebaliknya perlu usaha bersungguh-sungguh bagi memeranginya.
“PAS dan Pakatan Rakyat telah lama memberikan komitmen terhadap perkara ini dan sanggup bekerjasama bagi memastikan pelaku rasuah diambil tindakan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.
Malah, ujar beliau siri-siri pembongkaran terhadap kegiatan rasuah kerap dibuat bagi memastikan negara ini selamat dari gejala ini.
PR juga, ujarnya sering menyerahkan dokumen kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai bukti sayangnya PR bersama rakyat terhadap negara ini dari dicemari oleh pelaku rasuah.
“DPPM mencadangkan sekiranya Pemandu benar-benar mahu berusaha secara radikal dalam memerangi rasuah, maka tindakan susulan yang lebih agresif dan radikal juga wajar diambil termasuk terhadap semua golongan bermula dari pemimpin negara sehinggalah kepada rakyat biasa,” katanya lagi.
Tambahnya, tidak ada pihak yang terselamat di sebalik kuasa yang mereka miliki sekiranya mereka terlibat dengan rasuah.
Menurutnya lagi, membanteras rasuah perlu dilakukan bermula dari pemimpin negara kerana sebagai pemimpin kerajaan dan negara ini, pemimpin menjadi contoh teladan kepada rakyat untuk diikuti.
Beliau menegaskan, rasuah tidak akan berjaya sekiranya pelaksanaannya hanya pada rakyat dan orang kebanyakan sedangkan golongan elitis dan pemimpin atasan dibiarkan melakukan sewenang-wenangnya.
Tambah beliau, gejala rasuah akan menjadi barah dan budaya kerana rakyat mengikut kepemimpinan negara.
“Rakyat mahu melihat keberhasilan Pemandu dengan tindakan terhadap golongan sasar.
“Prestasi kabinet sesi 2013 dari kerajaan pusat mahupun kerajaan negeri kali ini menjadi sandaran dan bukti benarkah rasuah benar-benar telah dicegah atau hanya sebuah lagi projek retorik untuk mengabui mata rakyat,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan