ASPAN ALIAS
Akta Hasutan 1948 menjadi isu hangat dan polimik yang besar bukan sahaja di Dewan Parlimen tetapi juga di tepi-tepi jalan dan warung-warung dimana rakyat biasa memberikan reaksi yang berbagai-bagai. Ia menjadi hangat kerana Najib telah berjanji untuk memansuhkan Akta ini pada tahun lepas sebagai salah satu janji pilihanraya beliau.Keadaan menjadi hangat apabila ada pihak dalam BN dan rakyat ramai sendiri merasa takut jika Akta itu dipinda atau dimansuhkan.
Ini merupakan satu usaha dan perjuangan pihak pembangkang sebegitu lama bagi Akta ini dihapuskan kerana terlalu mudah Akta ini dipergunakan untuk menekan pihak lawan oleh yang berkuasa. Akta ini digubal pada tahun 1948 sejurus selepas wujudnya Persekutuan Tanah Melayu yang menggantikan Malayan Union semasa itu.
Akta ini sudah berusia dan ia telah berada dengan kita sejak begitu lama. Tetapi ia mula menjadi isu kerana kelemahan pimpinan UMNO dan BN sendiri sehinggakan pihak pembangkang menggunakan isu ini dengan begitu ‘expedient’ sekali dan ia bersabit dengan kehendak politik pihak tertentu.
Dulunya Akta ini tidak mudah untuk diperjuangkan oleh pihak pembangkang yang menganggapnya sebagai satu Akta yang terlalu menekan dan bertentangan dengan kebebasan bersuara dan sebagainya. Pembangkang tidak pernah berjaya untuk membawa ia diperbincangan dimana-mana kerana kekuatan UMNO dan BN selama ini begitu kuat dan tidak mudah untuk digoyahkan oleh mana-mana pihak termasuk pembangkang.
Akta ini adalah Akta yang sangat tua, malahan lebih tua dari Perikatan atau BN. Sekarang UMNO dan BN sedang dalam keadaan yang paling lemah, maka apabila berada dalam keadaan lemah maka ia memudahkan pembangkang untuk memperjuangkan penghapusannya. UMNO begitu lemah kepimpinannya kerana pimpinannya tidak mempunyai kudrat pemikiran untuk memperkuatkan diri. Apabila kepimpinan lemah pemikirannya maka mudahlah elemen luaran mempengaruhi ramai dan membawa bersama tekanan terhadap BN itu.
Ada pandangan dan perbidalan Inggeris, ‘just as an idle mind is an evil’s workshop, a weak character and a coward is a devil’s playing field’. Kelemahan ‘character’ kebanyakkan kepimpinan UMNO pada hari inilah yang menyebabkan pemimpin menjadi penakut dan sentiasa bersedia untuk memenuhi tekanan pihak yang semakin hari semakin kuat mendapat sokongan rakyat.
Bagi setengah pendapat Akta ini amat penting kerana kita tidak tahu dan mampu menjangka apa yang akan berlaku kepada negara kita suatu hari nanti. Jika sampai ketahap sesiapa sahaja boleh bercakap dan melakukan apa sahaja yang mereka mahu tanpa sekatan kerana politik, akhirnya negara kita akan berada di dalam kekecuhan. Tidak ada sesiapa yang boleh bebas sepenuhnya dalam hidup ini.
Haiwan yang tidak dikawal oleh undang-undang dan bebas melakukan apa sahaja pun tidak mempunyai kebebasan sebenar. Harimau yang garang tidak bebas untuk keluar dari hutan dengan bebas kerana ia membahayakan dirinya sendiri. Harimau yang tidak berfikiran itu pun takut untuk keluar ke jalanraya kerana ia akan memudaratkan kehidupannya sendiri apabila dijumpai oleh manusia yang mempunyai cara dan kaedah canggih bagi membunuhnya.
Najib mahu memenuhi kehendak semua pihak kerana beliau ‘desperate’ untuk mendapatkan mandat rakyat dalam pilihanraya 13 yang baru selesai itu. Itulah sebabnya kita kedengaran beliau tunduk kepada tekanan kepada pihak yang membangkang beliau dan menjanjikan pemansuhan Akta ini. Hasilnya tidak pun berbaloi kerana rakyat tetap tidak memberikan sokongan padu kepada BN itu dalam PRU yang lepas.
Bagi saya Najib sepatutnya tegas dengan Akta yang begitu penting dan telah digunapakai sejak sebelum merdeka lagi. Kalau pun ia dipinda biarlah ia dipinda oleh pembangkang jika mereka berjaya mengambilalih kepimpinan dari UMNO dan BN itu. BN sepatutnya tegas mempertahankan Akta yang BN lindungi selama ini.
Sekarang nampaknya Zahid Hamidi begitu kuat dan lantang mempertahankan Akta ini. Jika Zahid benar-benar komited untuk mempertahankan Akta ini beliau seharusnya bersedia untuk menjadi korban semata-mata kerana menegaskan pendirian beliau untuk mempertahankan Akta ini.
Secara peribadi saya mengenali Zahid ini sejak 32 tahun yang lepas dan saya mempunyai keraguan terhadap beliau samada beliau benar-benar tegas mempertahankan Akta ini dengan ‘conviction’ nya yang tinggi. Saya tidak mahu beliau nampak garang semata-mata untuk mendapatkan penyatuan sokongan perwakilan UMNO dalam pemilihan parti tidak lama lagi.
Saya berharap Zahid terus tegas dan jangan tunduk selepas pemilihan parti nanti. Zahid perlu melakukan ‘follow through’ yang jelas sampai selesai dan berjaya mempertahankan Akta ini.
Jika Zahid akhirnya berundur kerana desakan peribadi dan politik UMNO sahaja maka itu bukannya pemimpin berwibawa. Itu adalah pemimpin ‘mati pucuk’ namanya. Zahid akan mendapat sokongan ramai sebenarnya. Yang tidak menyokong hanyalah dari mereka yang mempunyai ‘political affiliation’ yang menebal sahaja tanpa memikirkan keselamatan negara dimasa depan.
Saya berharap Zahid tegas dalam isu ini dan jangan tunduk kerana tekanan pihak yang berkepentingan kepartian semata-mata. Saya berharap Zahid tidak lah seorang pemimpin ‘mati pucuk’ seperti yang saya sebut sebentar tadi.Kalau pun akta ini hendak dimansuhkan, elok di paparkan draf Akta gantian yang menggantikan Akta Hasutan 1948 itu dahulu.
Jadilah lah pemimpin yang ‘effective’ kepada negara walaupun mungkin tidak popular dalam jangka masa yang pendek ini. Tetapi Akta ini amat perlu dikekalkan semata-mata untuk menjaga kestabilan negara untuk jangka masa yang panjang.
Hanya mungkin boleh dilakukan ialah pindaan kepada Akta ini sahaja supaya ia tidak mudah digunakan secara sewenang-wenangnya oleh pihak yang sedang berkuasa yang lemah sekarang. Mungkin ada kecenderungan ia disalahgunakan oleh pimpinan yang lemah dan tumpuan perlu dibuat terhadap isu penyalahgunaan oleh mereka yang lemah atau ‘mati pucuk’ tadi sahaja.
Isu ini benar-benar memberikan dugaan besar kepada Zahid dan kita begitu teruja untuk menunggu kesudahan kepada isu ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan