Khamis, 11 Julai 2013

Boros RM500 juta belanja PRU, SPR wajib letak jawatan – Izzah

Oleh Norasikin Samsi

KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar mengulangi desakan supaya Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meletak jawatan berikutan perbelanjaan tidak telus hampir setengah bilion untuk pilihan raya.

Beliau berkata, dasar pelaksanaan SPR yang runcing ditambah dengan penipuan dan penyelewengan dalam mengendalikan Pilihan

Raya Umum ke-13 termasuk perbelanjaan boros wang negara melenyapkan kredibiliti dan intergriti badan itu.
Izzah
“SPR tidak telus dalam perberlanjaan dan pelaksanaan banyak dasar. Kita persoalkan perbelanjaan yang begitu boros, tetapi apa yang meruncing adalah personaliti SPR itu sendiri. Mereka tidak ada kredibiliti membelanjakan sejumlah wang negara dan tidak peka dengan tuntutan rakyat,” katanya kepada Keadilan Daily.

Justeru, Naib Presiden KEADILAN itu berkata, kepimpinan SPR wajib ditukar sebelum Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut, 24 Julai ini.

“Dengan perbelanjaan sebegini yang tidak diganding dengan penjelasan jelas dan tanpa penanggungjawaban, SPR wajib letak jawatan sebelum PRK Kuala Besut. Saya tak boleh terima jika kita terpaksa melalui satu lagi pilihan raya tanpa apa-apa tindakan terhadap mereka dan personaliti-personaliti ini,” kata Nurul Izzah.

Tambahnya, penukaran pembekal dakwat kekal yang akan digunakan untuk PRK Kuala Besut tidak mengubah isu penyelewengan dakwat boleh tanggal pada PRU lalu.

“Ini tidak mencukupi, mereka menipu dan terus menipu dan secara peribadi semasa saya berjumpa dengan Timbalan Setiausaha SPR dua hari sebelum pilihan raya, perkara yang sama diulang.

“Tindakan minimanya semua wajib letak jawatan dan diganti dengan pimpinan SPR yang mendapat kepercayaan dari semua pihak termasuk juga Pakatan Rakyat.

“Ini kerana mereka hilang dan gagal mempertahankan kredibiliti dan intergriti, termasuk penipuan  pilihan raya dan lebih 60 petisyen dikemukakan,” kata Nurul Izzah lagi.

Ditanya mengenai perbelanjaan munasabah untuk mengadakan pilihan raya, Nurul Izzah berkata: “Kita hanya rujuk pada pilihan raya lepas dan sekarang ada peningkatan.

“Apapun kita tak boleh terima apabila wang sebesar ini dibelanjakan untuk mereka yang menjadi ejen dan di bawah kuasa serta pengaruh Barisan Nasional. Apatah lagi wang RM500 juta ini ibarat sudah jatuh ditimpa tangga,” katanya.

Tiada ulasan: