Muncul
kali pertama di pentas ceramah selepas penamaan calon 12 Julai lalu,
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang malam tadi mengingatkan
pengundi di Kuala Besut supaya menjadi "ikan yang cerdik".
Beliau membuat anologi itu bagi mengelak pengundi agar tidak termakan umpan kebendaan oleh pihak lawan sehingga menyebabkan mereka tidak mengundi calon PAS, Azlan Yusof.
"Ikan yang cerdik, dia makan umpan sahaja, tidak kail. Jangan jadi ikan dukang yang badan berbelang, (dan) bermisai tapi tidak berharga sesen.
"Biar kita jadi ikan yang cerdik dan bijak. Orang bagi umpan, kita ambil umpan, mata kail biar kepada dia. Itu cara kita hadapi pilihan raya. Insya-Allah, kita akan mencapai kemenangan," katanya.
Berceramah di Kampung Nail, Kuala Besut malam tadi, Abdul Hadi mengambil kesempatan itu berseloroh sambil mengajak pengundi memilih calon parti "bulan" Azlan Yusof.
"... kita nak puasa, kita tengok anak bulan, bukan dacing.
"Nak raya pun tengok anak bulan. Bila orang perempuan mengandung kita tanya berapa bulan mengandung, kita tak kata berapa kilo mengandung," katanya yang mengundang gelak ketawa hadirin.
"Sebab harga diri manusia mengikut pusingan bulan, bukan berapa ringgit sekilo. Itu bukan harga diri kita," katanya yang juga ahli parlimen Marang .
Tiada ulasan:
Catat Ulasan