Polis menahan enam remaja lelaki yang sedang meleraikan komponan dalaman sebuah teksi yang dipercayai dicuri di Batu Caves, dekat ibunegara semalam.
  
Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan berkata ketika kejadian pada pukul 5 pagi itu, pihaknya sedang melakukan rondaan di kawasan perumahan Desa Rejang, Setapak Jaya telah ternampak sebuah teksi dalam keadaan mencurigakan.
  
"Di dalam teksi berkenaan terdapat enam suspek berumur lingkungan 14 hingga 16 tahun sedang meleraikan bahagian dalam komponan teksi dipercayai untuk dijual.
  
"Hasil siasatan awal, polis mendapati teksi itu telah dicuri di sekitar Batu Caves dan suspek memandu teksi itu hingga ke Desa Rejang untuk dileraikan," katanya dalam sidang media   di Balai Polis Wangsa Maju.
  
Beliau berkata pintu teksi telah diumpil dan suspek memandu teksi berkenaan menggunakan kunci yang dijumpai dalam kenderaan tersebut.
  
"Enam yang ditahan seorang daripadanya berumur 15 tahun dan masih bersekolah manakala lima lagi tidak bersekolah dan dipercayai bukan kali pertama mereka melakukan kegiatan itu.
  
"Pemilik teksi itu hanya menyedari teksinya hilang ketika hendak pergi kerja dan segera membuat laporan polis," katanya.
  
Beliau berkata polis akan mendapatkan perintah tahan reman ke atas kesemua suspek esok, dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.
  
Sementara itu, dalam kes yang berasingan, polis menahan seorang lelaki berusia 38 tahun dan merampas dua paket ganja seberat satu kilogram bernilai RM22,000 di sebuah hotel di Jalan Ipoh di ibunegara kelmarin.
  
Zakaria berkata hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah dan mempunyai tiga rekod jenayah lampau.
  
Katanya kes itu disiasat di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952. Bernama