Jumaat, 3 Ogos 2012

GRO sanggup menyorok bawah meja

SITI SHAHROSAMIRAH SHAHARMAN

Gadis-gadis terbabit berjaya dikesan walaupun menyorok di bawah meja yang sempit.
Gadis-gadis terbabit berjaya dikesan walaupun menyorok di bawah meja yang sempit.
 
 
BANDARAYA MELAKA - Tindakan lima gadis dipercayai pelayan pelanggan (GRO) yang cuba menyorok di bawah meja untuk mengelak dikesan penguatkuasa tidak berhasil apabila ditahan dalam serbuan di sebuah kelab, malam kelmarin.

Cubaan mereka yang turut bersembunyi di sebalik sofa itu dapat dikesan anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Pejabat Imigresen negeri ketika menyerbu sebuah kelab yang terletak bertentangan dengan sebuah sekolah dekat Banda Hilir, kira-kira jam 11 malam.

Lima pelayan itu antara 35 ditahan dalam pemeriksaan dilakukan ke atas 40 wanita berpakaian seksi, dipercayai turut memberikan khidmat seks untuk pelanggan.

Timbalan Pengarahnya, Mohammad Azlan Jawawi berkata, serbuan dalam Operasi Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (6P) itu disertai 18 anggota dan pegawai Imigresen bermula jam 11 malam hingga 2 pagi dalam dua serbuan berasingan.

“Seramai 40 GRO berusia 22 hingga 44 tahun diperiksa dan 35 daripadanya iaitu 19 warga China, 11 Vietnam, tiga Filipina dan dua warga Indonesia ditahan dipercayai menyalahgunakan pas lawatan sosial dengan bekerja di negara ini.

“Risikan mendapati, kelab berkenaan turut menawarkan aktiviti tidak bermoral dan dengan bayaran RM150, pelanggan boleh membawa GRO yang dipilih ke satu lokasi lain,” katanya pada sidang media selepas operasi, awal pagi semalam.

Menurutnya, ada GRO yang bertindak seolah-olah tiada apa-apa berlaku, dipercayai bagi mengelirukan penguat kuasa kononnya mereka adalah rakyat tempatan.

Beliau berkata, pihaknya turut menyerbu rumah pekerja sebuah ladang dekat Kesang Pajak, Jasin kira-kira jam 1 pagi sebelum menahan 15 lagi lelaki warganegara Indonesia.

“Ketika serbuan, semua 20 lelaki sedang tidur sebelum pemeriksaan dilakukan dan mendapati 15 daripadanya melanggar syarat pas, tinggal melebihi tempoh dibenarkan, tiada permit sah dan bekerja dengan majikan lain daripada didaftarkan,” katanya.

Menurutnya, seramai 50 orang ditahan dalam dua serbuan itu disiasat di bawah Seksyen 39(b) Peraturan Imigresen 1963.

Tiada ulasan: