Khamis, 30 Ogos 2012

Kuning tetap di KL walau Dataran Merdeka ditutup – Gabungan Janji

Oleh Mohd Martin Kahar

KUALA LUMPUR 30 Ogos: Gabungan Janji menasihatkan peserta Himpunan Janji Demokrasi berkumpul di mana-mana sahaja di sekitar ibu kota dengan memakai baju kuning jika Dataran Merdeka ditutup pada malam ini.



Ahli Jawatankuasa Gabungan Janji, Hishamuddin Rais mengingatkan orang ramai tidak perlu mencetuskan kekecohan, sebaliknya berhimpun secara aman sambil menghayati sambutan kemerdekaan ke-55.

“Kami baru sahaja menerima surat daripada Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainuddin Ahmad yang memaklumkan perhimpunan ini tidak mendapat kebenaran polis. Kita juga menjangkakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menutup Dataran Merdeka kepada peserta Janji Demokrasi.

“Jika ia ditutup, kita sudah putuskan supaya orang ramai boleh berada di mana-mana sahaja berhampiran Dataran Merdeka atau sekitar Kuala Lumpur (KL) dengan memakai baju kuning untuk menyambut ambang Merdeka pada malam ini.

“Orang ramai tak perlu buat kacau, jangan bawa sepanduk atau apa-apa slogan. Pakai sahaja baju kuning kerana ia sudah memadai untuk kita merayakan Hari Merdeka. Datanglah beramai-ramai dengan membawa keluarga serta makanan untuk kita bersantai,” katanya ketika dihubungi.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi megeluarkan surat pada jam 3.00 petang tadi menyatakan Himpunan Janji Demokrasi yang akan diadakan pada 11.00 malam ini menyalahai undang-undang.

Polis mendakwa penganjur tidak mendapatkan kebenaran di bawah Seksyen 9 (1), Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736).

Polis juga mendakwa penganjur tidak mendapat kebenaran daripada pemilik Dataran Merdeka iaitu DBKL serta perhimpunan itu dikatakan akan menggangu persiapan untuk menyambut acara perbarisan Hari Kemerdekaan.

Mengulas perkara itu, Hishamuddin berkata, Himpunan Janji Demokrasi tidak akan menyebabkan huru-hara melainkan jika ada pihak sengaja mencetuskan provokasi.

“Kita cuma merayakan (ambang kemerdekaan) bersama-rakyat rakyat, cuma bezanya kita berpakaian kuning,” tegasnya.

Beliau berkata, tinjauan dilakukan pihaknya mendapati keadaan di ibu kota masih ‘terkawal’, dan tiada sekatan jalan raya oleh polis.

Himpunan Janji Demokrasi dianjurkan oleh Gabungan Janji yang dianggotai 49 NGO, antaranya Empower, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Warga Aman dan Persatuan Progresif India Malaysia (Mipas) dan Asalkan Bukan Umno (Abu).

Tiada ulasan: