Khamis, 30 Ogos 2012

KDN: Himpunan Janji Bersih perlu patuh Akta Perhimpunan Aman

SINAR HARIAN

Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
 
SHAH ALAM -  Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengingatkan penganjur 'Himpunan Janji Bersih' yang dijadual diadakan di Dataran Merdeka malam ini supaya mematuhi undang-undang di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Beliau berkata, penganjur perhimpunan itu perlu mengemukakan permohonan rasmi kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terlebih dahulu kerana Dataran

Merdeka terletak di bawah bidang kuasa agensi itu.

"Tuan punya kawasan (Dataran Merdeka) ialah DBKL dan kita tidak boleh masuk campur secara langsung dalam hal memberi kebenaran ini.

"Bagaimanapun, kita masih tunggu perkembangan lanjut daripada DBKL dan setakat ini saya belum dapat maklumat rasmi mengenai status permohonan ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan 'Kempen Kesedaran Akibat Jenayah' peringkat kebangsaan anjuran Yayasan Pembangunan Belia India Malaysia di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perhimpunan itu yang dijadual diadakan di Dataran Merdeka esok sempena sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini.

Hishammuddin berkata polis akan menjaga keselamatan semua pihak termasuk mereka yang 'berniat jahat' dalam perhimpunan itu, nanti.

Beliau berkata, polis tidak akan 'memilih bulu' dalam soal menjaga keselamatan awam dan akan sentiasa memastikan tanggungjawab itu dilakukan dengan baik.

Hishammuddin percaya majoriti rakyat tidak akan terpedaya untuk menyertai perhimpunan itu kerana apa yang berlaku semasa Himpunan Bersih 3.0 lepas, yang menjadi protes jalanan yang ganas, masih segar dalam ingatan orang ramai.

Dalam perkembangan lain, beliau membidas sikap sesetengah pihak yang memperlekeh dan menidakkan kadar indeks jenayah yang diumumkan sebelum ini.

Beliau berkata, adalah penting menjawab tohmahan yang dilemparkan itu dengan segera terutamanya menerusi media sosial supaya ia tidak mempengaruhi pemikiran orang ramai.  - Bernama

Tiada ulasan: