Rabu, 29 Ogos 2012

Sambutan Hari Merdeka di Bukit Jalil: Untuk jemputan BN sahaja?

 Roketkini.com



KUALA LUMPUR: Kerajaan Najib Razak dibidas untuk sambutan perayaan Hari Merdeka di Stadium Bukit Jalil yang bakal menggunakan dana rakyat, namun pada masa yang sama melayan rakyat sebagai orang luar dan hanya mengutamakan jemputan dari kalangan pro-UMNO dan Barisan Nasional sahaja.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dalam kenyataan medianya hari ini menyelar sikap kerajaan tersebut yang dilihat membelakangkan rakyat dan menjadikan perayaan Hari Merdeka sebagai perayaan milik UMNO-BN sahaja.

Kit Siang berkata demikian berikutan laporan Malaysiakini semalam yang mendedahkan bahawa susun atur kerusi di dalam stadium tersebut telah diatur khusus untuk jemputan BN sahaja, termasuk pelajar sekolah, kakitangan kerajaan, dan kumpulan-kumpulan terpilih, termasuk parti politik mesra BN – Indian Progressive Front (IPF) dan Kongres India-Muslim Malaysia (KIMMA).

Menurut laporan itu juga, Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Kamaruddin Siaraf dipetik sebagai berkata bahawa orang umum boleh mengikuti sambutan itu melalui skrin gergasi yang akan dipasang di luar stadium.

Apabila disoal kenapa wakil Pakatan Rakyat tidak dijemput sama, beliau berkata bahawa ‘mereka’ boleh turut serta bersama ‘rakyat lain’ di luar bangunan stadium. “Mereka boleh datang atas ‘tiket rakyat’,” katanya.

Kit Siang menambah bahawa ini jelas menunjukkan bahawa pentadbiran Najib Razak tidak memahami apa sebenarnya konsep rakyat sebagai ‘bos’ dalam sistem demokrasi berparlimen.

“Berapa kos sambutan Merdeka di Stadium Bukit Jalil? Adakah Barisan Nasional akan membayarnya dengan wang parti itu sendiri?” soal beliau.

“Sambutan Hari Merdeka di Stadium Bukit Jalil adalah langkah ke belakang dalam pembinaan negara selama 55 tahun, apabila rakyat diasingkan daripada stadium berkapasiti 100,000 tempat duduk yang hanya dikhaskan untuk ‘jemputan BN’ sahaja,” ujar beliau. – Roketkini.com

Tiada ulasan: