Rabu, 29 Ogos 2012

Hudud: Pas nafi laporan media pinda Perlembagaan

RUZY ADILA IDRIS

Hatta Ramli
Dr Hatta Ramli
 
PETALING JAYA - Pas menafikan parti itu akan membawa usul meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan pelaksanaan hukum hudud jika Pakatan Rakyat (PR) memerintah kelak.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Hatta Ramli berkata, Sin Chew Daily melaporkan Timbalan Presiden parti itu, Mohamad Sabu mengeluarkan kenyataan itu dalam satu wawancara eksklusif, yang disiarkan dalam versi atas taliannya semalam dan muka depan edisi cetaknya hari ini.

"Laporan tersebut mengatakan Pas berhasrat mengusulkan pindaan Perlembagaan di Parlimen dalam usaha melaksanakan hudud sekiranya berjaya mengambil alih Putrajaya.

"Itu tidak benar kerana laporan berita berkenaan dikhuatiri akan menyebabkan rakyat dan pengundi keliru terhadap pendirian Pas dalam Pakatan Rakyat berhubung isu berkenaan", kata beliau pada sidang media selepas Mesyuarat Mingguan Majlis Pakatan Rakyat disini, hari ini.

Menyentuh mengenai pelaksanaan hudud dalam negara, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika ditemui pagi tadi berkata, PR perlu menang dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) terlebih dahulu sebelum ia boleh dibincangkan.

Hatta yang juga Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat berkata,  sebelum ini ada dakwaan yang mengatakan Pas akan bekerjasama dengan Umno sekiranya menang pada PRU13.

“Dakwaan itu sememangnya tidak akan berlaku dan walau apa pun yang terjadi, Pas tidak akan bekerjasama dengan Umno.

“Hal ini jelas kerana Umno sering memainkan isu perkauman dan agama,” dakwa Hatta lagi.

Tiada ulasan: