Khamis, 30 Ogos 2012

Pemuda PAS lancar ‘countdown’ PRU13

 
Risalah kempen 'Selamatkan Malaysia' akan mula diedarkan pada malam ini pada sambutan ambang kemerdekaan di Dataran Merdeka.



KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Pusat hari ini mula melancar dan menyebar kempen ‘countdown’ tarikh akhir pembubaran Parlimen pada 24 April tahun depan.

Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan berkata, ‘countdown’ itu akan bermula pada hari ini sebagai simbol mengira detik terakhir kerajaan Barisan Nasional (BN) mentadbir pusat.

Katanya walaupun tarikh sebenar PRU13 tidak diketahui, namun pihaknya mensasarkan 24 April itu sebagai tarikh terakhir BN adakan PRU.

“BN kini hanya ada 236 hari sahaja lagi untuk tadbir Pusat dan melaksanakan segala janji yang ditaburkan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Katanya, ‘countdown’ itu juga digunakan sebagai tekanan kepada BN untuk segara mengadakan PRU tanpa perlu menunggu sehingga berakhirnya mandat Parlimen.

‘Bangkrap Negara’


“Kita akan sebarkan pautan ‘countdown’ ini di laman sosial termasuk web, blog, dan Facebook,” katanya.

‘Countdown’ ini merupakan antara salah satu program dalam kempen ‘Selamatkan Malaysia’ anjuran Pemuda PAS yang mahu memberi beberapa siri pendedahan mengenai penyelewengan BN sepanjang 55 tahun memerintah Pusat.

Antaranya, penyebaran risalah ‘Bangkrap Negara’ yang memberi makklumat kepada orang ramai mengenai jumlah hutang negara yang semakin meningkat setiap tahun.

Ini berikutan kenaikan mendadak hutang negara daripada RM217 bilion pada tahun 2004 kepada RM437 bilion pada tahun lalu.

“Jangkaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala bahawa negara akan bankrap pada tahun 2019 apabila hutang negara mencecah RM1 trilion tidak mustahil akan berlaku sekiranya BN terus menyeleweng dan berbelanja secara boros,” katanya.

Sehubungan itu, katanya risalah kempen Selamatkan Malaysia itu akan mula diedarkan pada malam ini pada sambutan ambang kemerdekaan di Dataran Merdeka.

Tiada ulasan: