Isnin, 27 Ogos 2012

DAP sentiasa menentang lompat parti, kata Lim Guan Eng


KUALA LUMPUR — Lim Guan Eng hari ini membidas kritikan terhadap DAP memperkenalkan undang-undang anti-lompat parti di Pulau Pinang, dengan berkata parti tersebut sentiasa menentang pembelotan untuk mendapat kuasa politik.

Setiausaha agung DAP (foto fail) itu menerangkan situasi percubaan Pakatan Rakyat (PR) pada 16 September, pada tahun 2008, ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengatakan Barisan Nasional (BN) akan jatuh melalui pelompatan parti ke PR, tetapi menurut beliau, DAP menentang cara ini untuk mendapat kuasa.

“Cadangan ini adalah dari Anwar, bila beliau mencadangkan tentang ini, DAP mempunyai pendirian berbeza.

“Semua orang boleh lompat parti tapi adalah penting untuk mempunyai mandat baru,” katanya lagi.

Peristiwa 16 September itu telah terus menghantui pakatan pembangkang, dan dibangkitkan sekali lagi apabila pentadbiran Lim di Pulau Pinang mencadangkan undang-undang anti lompat parti.

Lim mengulangi pendirian kerajaannya bahawa cadangan itu tidak akan menghalang hak individu untuk berpersatuan di bawah Artikel 10 perlembagaan persekutuan kerana tidak menghalang orang menyertai parti lain.

Apa yang lebih penting, katanya adalah untuk mengangkat hak demokratik pengundi dengan membenarkan pemilih untuk memilih wakil sama ada ahli parlimen atau dewan undangan negeri yang menukar parti.

Ahli parlimen Bagan mempersoal penolakan BN terhadap undang-undang anti lompat parti, dengan berkata parti pemerintah masih mahu membeli wakil rakyat demi mendapatkan kuasa jika perlu.

Lim sekali lagi berkata tentang kes di Perak, bila pertukaran kerajaan berlaku pada 2009 dari PR ke BN bila dua ahli dewan undangan negeri PKR dan seorang dari DAP meninggalkan parti mereka untuk menjadi ahli dewan undangan negeri bebas yang menyokong BN.

“Kenapa BN enggan menerima undang-undang ini? Adakah mereka masih mahu membeli wakil lagi?” katanya lagi.

Cadangan DAP di Pulau Pinang telah menerima kritikan terutamanya dari presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dengan berkata parti itu hanya mendiamkan diri apabila PR mengalu-alukan pembelot dari BN ke PR.

Kes terbaru ialah dua ahli parlimen Sabah — Datuk Seri Wilfred Mojilip Bumburing dan Datuk Seri Lajim Ukin — yang meninggalkan jawatan mereka dari BN ke pergerakan pro PR di negeri Malaysia Timur itu.

Lim menegaskan DAP tidak ada membuat sebarang kenyataan terhadap dua wakil itu, tetapi menegaskan parti itu menentang lompat parti yang tidak ada pemilihan semula.

“Kami tidak ada komen tentang keputusan mereka. Kami cuma kata adalah perlu untuk ada undang-undang anti lompat parti.

“Dengan meninggalkan BN, ini menunjukkan mereka sudah hilang keyakinan terhadap perdana menteri dan ketua menteri, tapi kami rasa adalah perlu untuk ada undang-undang anti-lompat parti,” katanya lagi.

Ditanya cadangan DAP ini akan diadakan di semua negeri-negeri diperintah PR, Lim menjawab “Biar kita mulakan di Pulau Pinang dahulu. Biar ini jadi langkah pertama”.

Beliau berkata cadangan DAP di Pulau Pinang kemudian dibincangkan pada mesyuarat exco akan datang.

Tiada ulasan: