Isnin, 27 Ogos 2012

FB Pemuda Umno Malaysia, AMK desak SKMM, Polis Tidak ‘Double Standard’




SHAH ALAM : Angkatan Muda Keadilan (AMK) mendesak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan bebas berhubung isu kewujudan Facebook ‘Pemuda Umno Malaysia’.

Ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata ia perlu dilakukan secara bebas dan terperinci bukannya ‘double standard’ seperti sebelum ini, di mana jika perkara itu membabitkan pihak Pakatan Rakyat siasatan akan dilakukan segera.

Sebelum ini, laman sosial itu mengundang kontroversi apabila Pemuda Umno Pusat membuat laporan polis selepas terdapat sebaran mesej iaitu mengundi Pakatan Rakyat bermakna memberi sokongan kepada usaha menjadikan Kristian sebagai agama Persekutuan.

“Kedua-dua badan itu bukan sekadar perlu menyiasat sama ada akaun itu palsu atau tidak tetapi juga menyiasat sama ada ia sengaja dilakukan oleh pihak tertentu.

“Oleh kerana ia sudah menjadi suatu kesalahan jenayah yang berbau hasutan, maka perlu mereka mengambil tindakan tegas,” katanya ketika dihubungi.

Shamsul menambah, hal terbabit adalah satu perkara yang dijangkakan akan berlaku selepas pindaan Seksyen 114 A Akta Keterangan 1950.

“Sebab itu kita menentang akta itu dari awal lagi, bagaimanapun Ahli-ahli Parlimen daripada Umno-BN bersungguh-sungguh untuk melaksanakan undang-undang ini tanpa memikirkan kesan yang akan berlaku.

“Jelas sekarang mangsa pertama ialah Pemuda Umno sendiri dan perkara yang agak malang apabila SKMM dan polis tidak menyiasat perkara ini.

“Saya berharap polis tidak ‘double standard’ dan menyiasat perkara ini dengan sebetulnya jika benar Pemuda Umno tidak bersalah dan tidak tahu menahu tentang kewujudan akaun ini,” katanya.

Tiada ulasan: