Jumaat, 31 Ogos 2012

Felda: Anak sedia dedah siapa Faizoul

Anis Nazri Foto: W Zahari,
 
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak masih mempunyai masa untuk mempertimbangkan semula jawatan Pengarah Besar Felda yang akan diisi oleh Faizoull Ahmad, 1 September ini.

Sekiranya Najib enggan berbuat demikian, Pertubuhan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) tidak teragak-agak untuk mendedahkan siapakah Faizoull yang dianggapnya sebagai seorang yang korup.

Presidennya, Mazlan Aliman, berkata beliau mempunyai maklumat mengenai peranan dan kerja Faizoull sejak lebih enam bulan lalu, berkaitan penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan di agensi tersebut.

"Bagaimanapun, saya tidak mahu panjangkan tentang Faizoull ini (buat masa ini) dengan harapan Najib mempertimbangkan semula jawatan Pengarah Besar Felda yang difahamkan akan diserahkan kepada Faizoull," tegas beliau pada sidang media, di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, petang semalam.

Namun, tegas beliau sekiranya Najib menerima nama Faizoull untuk mengisi jawatan tersebut, Mazlan berkata pihaknya akan mendedahkan siapa sebenarnya Faizoull, di samping membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat Faizoull.

Pemilihan Faizoull, yang dipercayai merupakan orang yang begitu setia dengan Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad, dipercayai akan menimbulkan kegawatan di kalangan pentadbiran Felda kerana beliau bukanlah orang yang disenangi di situ.

Sehubungan itu, Mazlan sekali lagi mengingatkan Najib agar mempertimbangkan semula calon yang layak mengisi kekosongan jawatan Pengarah Besar Felda, tanpa memilih seorang yang korup untuk menerajui agensi tersebut.

Faizoull, dinamakan untuk menggantikan Datuk Dzulkifli Abdul Wahab yang diminta mengosongkan jawatan tersebut November tahun lalu, dengan menghantarnya berkursus.

Bagaimanapun, pada 28 Ogos lalu, Lembaga Pengarah Felda memutuskan Dzulkifli disingkirkan dan dipindahkan ke Kementerian Asas Tani dan ditugaskan ke Rome, Itali.

Turut serta pada sidang media tersebut ialah bekas Timbalan Pengarah Bank Negara, Dr. Rosli Yaakob.

Tiada ulasan: