Jumaat, 3 Ogos 2012

Isu hudud: DAP tidak mahu layan MCA

NURUL AINI MOHAMED ALI

Dr Tan Seng Giaw
 
 
SHAH ALAM - DAP tidak akan melayan sebarang desakan Naib Presiden MCA, Datuk Seri Chor Chee Heung  yang mencabar Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng agar secara terbuka menjelaskan polisi bersama pakatan pembangkang bagi membuktikan ia benar-benar menentang pelaksanaan hukum hudud.

Menurut Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Dr Tan Seng Giaw, desakan MCA tidak sedikit pun akan menjejaskan pendirian DAP mengenai pelaksanaan hukum hudud di negara ini.

“Isu ini sudah lapuk, MCA sengaja timbulkan isu ini untuk meraih undi dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU),” kata Ahli Parlimen Kepong ini.

Chee Heung sebelum ini berkata, DAP cenderung berdiam diri dan tidak bercakap apa-apa walaupun telah berkali-kali digesa oleh orang ramai untuk menjelaskan pendirian mereka terhadap usaha Pas melaksanakan hukum hudud.

Dalam kenyataan baru-baru ini, beliau yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, Guan Eng juga perlu membuktikan bahawa DAP bukan semata-mata menggunakan polisi sama yang dipersetujui oleh parti itu dan Pas sebagai alasan untuk mengelirukan orang ramai dan mengumpan mereka.

Sebaliknya, menurut Seng Giaw, hudud tidak menjadi masalah untuk dilaksanakan di Malaysia tetapi pindaan undang-undang mesti dibuat di Parlimen dan ia bukan sesuatu yang mudah.

“Agak sukar untuk membuat pindaan di Parlimen kerana mesti mendapatkan majoriti dua pertiga terlebih dahulu,” ujarnya.

Tambah beliau, negara ini mempunyai pelbagai kaum dan jika pelaksanaan hukum hudud menjadi realiti, pihaknya berharap agar semua kaum akan dilayan secara adil dan saksama tanpa ada sebarang jurang sempadan.

“Tidak jadi satu isu lagi, MCA sengaja menjadikan ia satu topik politik kerana sudah kekeringan idea. Bagaimana mahu teruskan pelaksanaan hudud jika tiada pindaan perlembagaan dibuat? MCA tidak perlu melatah mengenai isu ini,” katanya.

Tiada ulasan: