Rabu, 29 Ogos 2012

Ku Li anggota jawatankuasa khas royalti?

MOHD ZAILANI ABD RAHMAN

Nik Abdul Aziz Nik Mat

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan mengenal pasti beberapa nama untuk pertimbangan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sebagai anggota jawatankuasa khas royalti yang ditubuhkan oleh Kerajaan Pusat.

Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bagaimanapun berkata, perkara tersebut belum boleh diumumkan kerana masih diperbincangkan diperingkat Kerajaan Negeri.

“Ada dua tiga nama, saya sudah kemukakan kepada pegawai saya untuk diserah kepada Tuanku (Sultan Muhammad V),”katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Graduan Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias)  di sini, hari ini.

Ditanya sama ada Ahli Parlimen Gua Musang, yang juga bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah berada dalam salah satu nama yang disenaraikan berada dalam jawatankuasa itu, Nik Aziz hanya tersenyum.

Bulan lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas royalti yang mengkaji secara adil isu bayaran tunai petroleum yang melibatkan Kelantan, Pahang dan Terengganu.

Dalam pada itu merujuk  kenyataan Ketua Ulama Pas, Datuk Harun Taib yang menegaskan Ahli Parlimen Bachok Nasharudin  Mat Isa masih  relevan dalam Pas, Nik Aziz berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam Majlis Syura Ulama 9 September ini.

”Doakan kesihatan supaya saya boleh  hadir dalam mesyuarat itu,”katanya.

Tiada ulasan: