Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, isu Islamofobia tidak akan timbul kerana wujud sikap hormat-menghormati antara kaum di Malaysia walaupun berbeza agama.
Menurutnya, mustahil ada pihak luar yang cuba untuk mengambil kesempatan ke atas negara ini berhubung isu hudud dan menyumbang kepada fenomena Islamofobia.
"Itu isu besar (Islamofobia), ia terjadi di negara-negara Eropah, tapi saya tak rasa di Malaysia akan timbul fenomena itu.
"Hudud bukan juga dilihat satu perkara untuk penularan Islamofobia di Malaysia kerana kita lihat masyarakat masih mengamalkan sikap toleransi untuk menjamin keharmonian negara dan kita percaya tak akan timbul isu itu," kata beliau kepada Sinar Harian Online.
Kelmarin, Abim memberi amaran fenomena Islamofobia, yang melanda beberapa negara, akan menular ke Malaysia jika DAP dan MCA tidak mengambil kira sensitiviti masyarakat Islam dalam polemik berkenaan hukum hudud.
Presidennya, Amidi Abd Manan berkata, beberapa kenyataan yang dikemukakan oleh pimpinan MCA dan DAP yang sama sekali tidak mengambil kira sensitiviti serta intipati tersirat yang terkandung dalam perundangan hudud serta Islam secara keseluruhannya.
"Sekiranya keadaan ini berterusan serta tidak dibendung, fenomena Islamofobia yang membayangi keharmonian hubungan antara masyarakat Islam dan bukan Islam di seluruh dunia akan menular ke negara ini," kata beliau.
Sehubungan itu, Mustafa menegaskan, negara tidak akan mengalami fenomena yang dibangkitkan Abim kerana Pas sedang giat memberi penerangan kepada masyarakat bukan Islam mengenai hukum hudud bagi mengatasi segala bentuk salah faham dalam masyarakat.
"Bagi kefahaman terhadap hukum hudud ini sedang dibuat sedikit demi sedikit oleh kita.
"Dulu ada juga orang Melayu menolak hudud secara terangan tapi dengan polemik yang berlaku sekarang, tidak ada siapa (orang Melayu) berani tolak hukum ini lagi dan sekali gus memberi kefahaman kepada masyarakat," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan