Ahad, 10 Jun 2012

Tun Abdullah: Penduduk Kepala Batas tidak boleh terima tarian seksi

SINAR HARIAN

KEPALA BATAS - Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata penduduk Parlimen Kepala Batas tidak boleh menerima persembahan tarian seksi yang dipertontonkan secara umum pada majlis makan malam 'Bertam Nite' anjuran Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini, Ahad lepas.

Abdullah, yang juga Anggota Parlimen Kepala Batas, berkata adalah salah jika parti itu mengharapkan akan mendapat sokongan daripada rakyat di Kepala Batas dengan mempersembahkan tarian seksi itu.

"Kalau itu caranya yang mereka lakukan untuk mendapatkan sokongan rakyat, mereka salah dan susahlah (untuk dapat sokongan) kerana orang Kepala Batas tidak dapat menerima persembahan itu (tarian seksi).

"Saya sendiri terkejut bila tengok gambar (persembahan tarian seksi) itu dan terfikir majlis apa yang mereka buat ni," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan Persatuan Qaryah-qaryah Masjid Negeri Pulau Pinang, di sini hari ini.

Abdullah berkata sepatutnya wakil PAS yang turut menghadiri majlis makan malam itu menegur rakan pakatannya iaitu PKR agar lebih sensitif.

Pengerusi PKR negeri Datuk Mansor Othman baru-baru ini dipetik sebagai berkata persembahan tarian seksi yang memaparkan tiga penari perempuan memakai skirt pendek itu tidak dianjurkan oleh parti berkenaan.

Mansor, yang juga Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, berkata perkara itu adalah kesilapan penaja kerana persembahan yang dicadangkan ialah tarian tradisonal daripada pelbagai kaum. - Bernama

Tiada ulasan: