Jumaat, 8 Jun 2012

'Suhakam tidak dikawal kerajaan'

Wartawan Sinar Harian

Pengerusi Suhakam, Tan Sri Hasmy Agam
Pengerusi Suhakam, Tan Sri Hasmy Agam
 
 
PADA tahun 1999, kerajaan mengejutkan banyak pihak dengan mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berpandukan Prinsip Paris 1992. Selepas lebih satu dekad, lahir pelbagai persepsi dan tanggapan mengenai Suhakam. Ada yang mendakwa ia menjadi alat kerajaan. Malah, ada juga mengatakan Suhakam bertindak sebagai entiti antikerajaan.

Suhakam mempunyai pendirian tersendiri dalam aspek ini khususnya dalam mempertahankan hak asasi manusia. Suruhanjaya ini cuba mengimbangi antara tuntutan, keperluan dan realiti semasa. Tan Sri Hasmy Agam, Pengerusi Suhakam yang ketiga, berkongsi hala tuju, cabaran dan keperluan berkaitan dengan hak asasi dalam wawancara bersama Editor Pengurusan Sinar Harian Online, G MANIMARAN dan wartawan Sinar Harian, ARHIZA AHMAD di pejabatnya Jumaat lalu.


SINAR: Selepas 12 tahun beroperasi, apakah pencapaian dan cabaran Suhakam sepanjang lebih satu dekad lalu?
HASMY: Sejak ditubuhkan 12 tahun lalu, Suhakam melalui banyak cabaran. Saya percaya Suhakam ditubuhkan bertujuan membantu kerajaan mempertingkatkan hak asasi manusia di negara ini. Malaysia sebuah negara yang disanjung tinggi banyak negara lain dalam konteks pembangunan ekonomi dan sebagainya. Bagaimanapun, dalam bidang hak asasi manusia, kita ketinggalan.

Kalau kita tengok konvensyen atau instrumen hak asasi antarabangsa, semuanya ada sembilan perkara tetapi pencapaian kita, yang kita guna pakai setakat ini hanya tiga, iaitu yang berkaitan dengan hak wanita, kanak-kanak dan orang kurang upaya (OKU). Kalau kita tengok rekod negara lain, kita berada pada kedudukan bawah... ini adalah kerana sebelum Malaysia meratifikasi beberapa konvensyen hak asasi tersebut, kerajaan terpaksa mengkajinya dengan teliti sebab ada prinsip yang menyentuh aspek-aspek keagamaan.

Sebagai sebuah negara ke arah merealisasikan negara maju pada 2020, ini adalah satu perkara yang perlu diperbaiki. Itu sebabnya Suhakam, sebagai platform yang diwujudkan kerajaan untuk membantu mempertingkatkan hak asasi manusia, menganggap keadaan ini sebagai satu cabaran. Satu masalah yang kita hadapi adalah anggapan rakyat terhadap Suhakam, terutamanya di kawasan luar bandar, di mana majoriti penduduk, golongan orang Melayu kita, tidak atau kurang faham dengan konsep hak asasi manusia.

Mereka beranggapan bahawa hak asasi manusia adalah agenda negara-negara Barat. Ini adalah tidak benar. Mereka perlu tahu hak asasi yang diperkenalkan ini adalah diterima pakai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Sebagai sebuah negara anggota PBB yang bertanggungjawab, Malaysia dikehendaki mengikut dan mengguna pakai prinsip tersebut, dan kita turut dipantau oleh badan khas PBB berkaitan dengan hak asasi manusia dan mereka turut membuat teguran dari semasa ke semasa.

Malah, mereka pernah membuat permintaan untuk mengadakan lawatan ke Malaysia dan kebanyakan permohonan lawatan yang ditolak kerana kita belum bersedia. Dalam tempoh 10
tahun lalu, mereka telah membuat 13 permintaan untuk melawat atau menghantar wakil-wakil khas mereka ke Malaysia. Hanya tiga permohonan diterima.

Kami di Suhakam menggesa kerajaan agar membuka pintu kepada lawatan seperti ini, kerana secara tidak langsung ia dapat membantu pihak kerajaan lebih telus dan terbuka dalam perkara berkaitan dengan hak asasi manusia di negara ini.

SINAR: Bertolak daripada soalan tadi, apakah ruang yang disediakan oleh Akta Suhakam sudah mencukupi untuk Suhakam bergerak dan berfungsi?
HASMY: Kita memantau dan membuat laporan serta menyuarakan pendapat Suruhanjaya dan juga pandangan orang ramai. Kita juga mendesak kerajaan dengan membuat kenyataan serta memberikan
cadangan dan pandangan kepada kerajaan berkaitan dengan hak asasi manusia.

Sama ada ruang ini mencukupi atau tidak... kalau kita bandingkan dengan suruhanjaya di negara lain, mereka lebih berkuasa; misalnya, di beberapa buah negara di rantau ini, mereka boleh membawa kes yang berkaitan dengan hak asasi manusia ke mahkamah.

SINAR: Apakah ini bermakna Suhakam memerlukan kuasa untuk mendakwa sesuatu kes berkaitan dengan hak asasi di mahkamah?
HASMY: Ini bermakna Suhakam sepatutnya boleh membawa kes mengenai pencabulan hak asasi manusia ke mahkamah sekiranya perlu. Bagi negara Filipina dan Indonesia, misalnya, mereka boleh membawa kes tertentu ke mahkamah yang berkaitan dengan pencabulan hak asasi manusia. Kami telah mengadakan perbincangan dengan Peguam Negara mengenai perkara ini, tetapi ia masih lagi dalam peringkat
perbincangan awalan.

Peguam Negara menyatakan bagi tujuan ini Suhakam perlu mempunyai anggota yang arif dalam bidang undang-undang atau melantik peguam. Dan, satu lagi pandangan Peguam Negara, bagaimana kalau sesuatu kes yang dibawa ke mahkamah tetapi Suhakam kalah... ini akan menimbulkan kos. Ini adalah antara beberapa perkara yang dibangkitkan oleh Peguam Negara. Dalam pada itu ada juga pakar undang-undang
yang mencadangkan agar Suhakam diberi kekebalan sekiranya membawa kes ke mahkamah.

Apa yang kita lakukan sekaran ialah menghadiri beberapa kes dan memainkan peranan sebagai pemerhati di mana anggota kami hadir di mahkamah untuk memerhati perbicaraan yang berkaitan dengan hak asasi manusia dan membuat kenyataan mengenai prinsip-prinsip hak asasi manusia yang relevan apabila dipelawa oleh hakim.

SINAR: Selepas 12 tahun Suhakam wujud, adakah kesedaran kita terhadap hak asasi bertambah baik? Di tahap manakah kita berada sekarang?
HASMY: Rekod negara kurang membanggakan jika kita melihat hak asasi secara terperinci; tetapi secara menyeluruh oleh kerana hak asasi itu amat luas dan apa-apa program yang dibuat oleh kerajaan
seperti membasmi kemiskinan dan membangunkan ekonomi, itu juga adalah berkaitan dengan hak asasi.

Jadi dari segi ini, program-program yang dijalankan oleh kerajaan sejak kemerdekaan sentiasa menuju ke arah untuk mempertingkatkan hak asasi manusia, yang mana ia merangkumi banyak aspek
seperti kesihatan, pembelajaran, kemudahan, kemiskinan dan pelbagai lagi, malah kita mempunyai pelbagai kementerian yang berkaitan dengan kemanusiaan, yang mana bertujuan untuk meningkatkan hak asasi bagi rakyat di negara ini.

Apa yang menjadi masalah atau kurang memuaskan pada masa sekarang adalah hak asasi bagi individu seperti yang termaktub dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR). Ini patut dipertingkatkan dalam negara kita. Malah Suhakam telah melakukan pelbagai program mengenainya. Kalau kita sebagai sebuah negara maju tidak mengguna pakai konvensyen-konvensyen berkenaan hak asasi tersebut, ia akan dipertikaikan oleh banyak pihak terutama negaranegara yang bernaung di bawah panji PBB.

SINAR: Bercakap tentang hak asasi manusia, melihat pada perkembangan semasa, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) telah dimansuhkan dan beberapa pindaan lain diperkenalkan oleh kepimpinan semasa. Bagaimana Suhakam melihat perkara ini?
HASMY: Dengan pemansuhan ISA, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah membuka ruang untuk mempertingkatkan hak asasi di negara kita. Pemansuhan ISA ini merupakan langkah yang berani dibuat oleh beliau, yang telah dialu-alukan oleh Suhakam. Ini termasuklah pemansuhan undang-undang yang berkaitan dengan darurat.

Apa yang penting, undang-undang yang menggantikan ISA itu juga seharusnya satu undangundang yang konsisten dengan prinsip hak asasi manusia. Jika tidak, ia tidak bermakna. Kita hendak lihat perbezaan - satu situasi yang lebih terbuka dengan mengikut prinsip hak asasi manusia sejagat. Malaysia perlu mengambil langkah sebegini dalam usaha kita menuju ke arah negara maju.

SINAR: Ada pandangan dan persepsi mengatakan wujudnya unsur campur tangan daripada pihak kerajaan dalam perjalanan Suhakam. Apa komen Tan Sri?
HASMY: Dalam perkara ini, saya ingin menyatakan di sini bahawa tiada apa-apa campur tangan kerajaan dalam urusan Suhakam. Persepsi sebegitu adalah salah. Sebaliknya, ada persepsi bahawa Suhakam antikerajaan. Ini juga tidak benar. Kami bekerjasama dengan semua pihak yang berkepentingan, termasuklah kerajaan dan NGO. Sebenarnya secara menyeluruh tugas dan tanggungjawab Suhakam
amat rumit.

Ini adalah cabaran yang dihadapi Suhakam; untuk menggesa kerajaan melaksanakan perkara-perkara yang perlu dibuat untuk mempertingkatkan hak asasi sambil menyeru semua pihak berkepentingan untuk sama-sama menggesa kerajaan melaksanakan langkah-langkah tersebut. Ini adalah kerana hak asasi adalah dipunyai (menjadi milik) dan tanggungjawab semua pihak, bukan sahaja Suhakam.

SINAR: Adakah sistem mahkamah tidak berkesan di mana Suhakam perlu mempunyai kuasa pendakwaan?
HASMY: Isu hak asasi manusia ini tidak atau kurang difahami oleh mahkamah. Pada pandangan saya sebelum ini, semua hakim sebenarnya mengetahui mengenai hak asasi manusia, tetapi itu bukan keadaan sebenarnya. Hakim melihat kes-kes di mahkamah dari segi undang-undang jenayah dan sivil, bukan hak asasi manusia yang merupakan satu kumpulan undang-undang lain.

Suhakam akan mengadakan satu forum untuk para hakim dalam bulan September ini berkaitan dengan hak asasi manusia agar mereka akan lebih arif dalam perkara ini. Hak asasi manusia ini perlu diintegrasikan dalam sistem perundangan negara kita agar pihak pesalah akan mendapat pembelaan dan seterusnya hukuman yang sewajarnya di mahkamah dari aspek hak asasi manusia.

SINAR: Ada kemungkinan akan mencadangkan kepada kerajaan agar satu mahkamah khas berkaitan dengan hak asasi manusia, yang dikendali oleh Suhakam?
HASMY: Setakat ini Suhakam tiada cadangan sebegitu. Malah, saya tidak pasti sama ada di rantau Asia Tenggara akan terdapat mahkamah sedemikian. Mungkin pada satu masa nanti di Asia Tenggara akan
terdapat satu mahkamah berkaitan dengan hak asasi manusia seperti yang wujud di Kesatuan Eropah (EU). Apa yang kita cadangkan ialah supaya isu-isu hak asasi manusia yang bersangkut paut dengan isu
yang dibawa ke mahkamah boleh dipertimbangkan oleh hakim, selain undang-undang sedia ada.

SINAR: Bagaimana pandangan kerajaan, rakyat dan ahli politik terhadap Suhakam?
HASMY: Pandangan mereka berbeza. Apa jua tanggapan mereka, kita tetap memberikan pandangan dan pendapat berhubung isu semasa yang berlaku di negara ini dari perspektif hak asasi manusia seperti yang dimandatkan kepada kami dalam Akta Suhakam. Ini termasuklah memberi nasihat dan membuat teguran terhadap manamana badan kerajaan jika terdapat tindakan mereka yang bercanggah dengan hak asasi manusia, di mana sekiranya teguran tidak dibuat Suhakam dilihat seperti tidak melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.

Kami juga membuat saranan dan cadangan terutama perkara yang berkaitan dengan undang-undang dan prosedur melalui pelbagai cara. Tanggapan terhadap Suhakam itu kebanyakannya salah termasukdaripada pihak kerajaan. Banyak jabatan kerajaan beranggap bahawa Suhakam adalah satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO); ini adalah tidak benar. Suhakam bukanlah NGO. Ini bukanlah hendak memandang rendah terhadap NGO, mereka mempunyai peranan tersendiri, sebagai badan-badan aktivis.

Kami ialah satu Suruhanjaya. Ia berbeza dengan NGO, yang mana kami termasuk juga dalam institusi kerajaan negara dalam konsep kerajaan atau pemerintahan secara am, seperti Parlimen, kehakiman negara dan lain-lain institusi seperti itu dalam konteks ‘good governance’.

SINAR: Ada tanggapan dan pandangan menyatakan Suhakam sebuah entiti antikerajaan. Apakah ia benar, Tan Sri?
HASMY: Seperti yang saya katakan tadi, tanggapan ini sememangnya ada dan amat mengecewakan. Yang peliknya, ada pihak pula, seperti NGO, yang beranggapan kamimemihak kepada kerajaan. Keduadua
pihak salah faham and tidak mengerti apakah peranan Suhakam sebenarnya. Apabila Suhakam membuat teguran terhadap agensiagensi kerajaan, kami dilihat sebagai antikerajaan, kerana pihak-pihak
tertentu tidak senang dengan teguran atau pandangan ini.

Kami bukan antikerajaan. Peranan Suhakam adalah untuk membantu kerajaan memperbaiki imej dan amalan kita terhadap hak asasi manusia. Pada pandangan saya, mana-mana kerajaan yang bercorak
demokrasi seperti kerajaan kita adalah pada hakikatnya pelindung terhadap hak asasi manusia. Semua kerajaan mempertahankan hak asasi manusia, jika tidak, ia tidak akan dipilih oleh rakyat. Suhakam hanya
satu alat atau mekanisme untuk membantu kerajaan melindungi dan mempertingkatkan hak asasi manusia di negara kita.

Oleh itua dalah tidak logik menganggapSuhakam sebagai antikerajaan. Suhakam tiada agenda lain selain daripada mempromosi hak asasi manusia. Kami prohak asasi manusia, bukan proparti ini atau parti itu. Slogan kami ialah “Hak Asasi Untuk Semua!”

SINAR: Menyentuh soal hak asasi manusia, kerajaan dan soal pilihan oleh rakyat, kita sedang dilanda demam pilihan raya dalam waktu terdekat. Pada pandangan Tan Sri, sejauh mana soal hak asasi manusia akan memainkan peranan penting dalam menentukan keputusan Pilihan Raya Umum ke-13?
HASMY: Pilihan raya adalah aspek yang amat penting dalam demokrasi dan juga dalam hak asasi manusia dalam mana tiap-tiap rakyat boleh memilih sesiapa saja sebagai calon mereka. Itu adalah hak yang penting. Beberapa tahun kebelakangan ini, kita ada memantau beberapa pilihan raya kecil yang berlangsung di negara ini. Ini kerana ia merupakan salah satu peranan yang harus dimainkan oleh Suhakam, iaitu dalam aspek hak asasi politik, bagi memantau sama ada hak asasi manusia dari segi politik dilaksanakan dalam pilihan raya.

Kita bakal menghadapi pilihan raya umum. Suhakam masih dalam perbincangan tentang perkara ini dari segi kemampuan kami memantau Pilihan Raya Umum yang akan datang secara menyeluruh. Memandangkan beberapa kekurangan, kami mungkin tidak dapat memantaunya secara menyeluruh, tetapi secara ‘am' dan akan meninjau serta menyiasat kes tertentu sekiranya aduan-aduan diterima oleh kami. Dalam konteks ini, sekiranya perlu, kami juga akan berbincang dengan pihak tertentu termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memastikan proses pilihan raya di negara ini mengikuti prinsip-prinsip hak asasi manusia sejagat.

SINAR: Satu cabaran kebelakangan ini berkaitan dengan perhimpunan Bersih. Bagaimana Suhakam melihat perkara ini khususnya berkaitan dengan hak asasi dan tuntutan mereka?
HASMY: Suhakam telah membuat keputusan untuk mengadakan panel siasatan kami mengenai Bersih 3.0. (Awal Mei lalu, Suhakam mengeluarkan laporan inkuiri berkaitan dengan perhimpunan Bersih 2.0). Kami telah melantik pengerusinya dan beberapa orang anggota panel tersebut. Ketiga-tiga mereka ini juga telah menganggotai panel sebelum ini, dan baru selesai menjalankan siasatan dan menyiapkan laporan apabila
Bersih 3.0 berlaku.

Sungguhpun pihak kerajaan telah melantik panel siasatan yang berasingan kami telah membuat keputusan untuk mengadakan inkuiri sendiri mengikut tanggungjawab dan mandat kami yang termaktub dalam Akta Suhakam, yang kami sememang tidak boleh lari darinya. Malah, Suhakam pernah didakwa di mahkamah kerana tidak mengadakan inkuiri awam seperti yang diminta oleh satu pihak.

Sepertimana inkuiri atau siasatan Suhakam pada masa-masa yang sudah, inkuiri yang akan dijalankan nanti adalah telus, neutral dan adil dan saksama, dan saya yakin perkara yang sama juga akan dilakukan panel yang dilantik kerajaan kerana kesemua orang mahu melihat ketelusan, keadilan dan kesaksamaan, tidak kira siapa yang terlibat.

SINAR: Difahamkan aduan diterima Suhakam daripada orang ramai berkenaan inkuiri Bersih 3.0 masih tidak menggalakkan? Mengapa agaknya? (Untuk rekod tarikh tutup mengemukakan aduan kepada Suhakam adalah 4 Jun ini).
HASMY: Pada mulanya ramai pengadu yang ingin membuat aduan tetapi apabila sampai masanya, ramai yang tidak hadir untuk membuat laporan mengenainya, mungkin ada yang rasa ragu untuk disoal siasat oleh Panel Inkuiri nanti seperti di mahkamah. Mungkin juga ramai yang tidak mengetahui pengumuman Suhakam itu kerana bukan semua akhbar menyebarkannya. Jadi Suhakam berkemungkinan akan melanjutkan tempoh untuk membuat aduan.

SINAR: Suhakam dalam menjalankan peranan dan tanggungjawabnya terpaksa mengimbangi kepentingan pelbagai pihak dalam proses meneliti sesuatu tuntutan. Ini cabarannya khususnya dalam isu terbaru berkenaan LGBT. Pandangan Tan Sri?
HASMY: Apa jua isu hak asasi manusia yang timbul ia tetap memberikan tekanan kepada Suhakam, bukan hanya satu-satu isu sahaja, seperti isu LGBT. Prinsip kami adalah menjalankan tugas secara adil dan saksama dan membuat satu penilaian sebelum mencapai sebarang keputusan, berasaskan maklumat mencukupi. Mengenai isu LGBT yang amat sensitif ini, kami bercadang untuk mengadakan perbincangan dengan pihak yang berkepentingan, termasuk buat permulaan pakar agama, terutama agama Islam, dalam konteks hak asasi manusia dari perspektif Islam.

Saya percaya agama Islam amat prihatin terhadap hak asasi manusia; oleh demikian perbincangan yang konstruktif akan dapat mempertingkatkan pemahaman terhadap isu hak asasi manusia dalam konteks negara dan budaya kita.

Tiada ulasan: