Selasa, 19 Jun 2012

Suhakam kaji nota tahanan ISA

Wartawan Sinar Harian

Suhakam
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia
 
 
SHAH ALAM - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) sedang mengkaji kesahihan nota mengenai dakwaan penyeksaan yang dilakukan terhadap tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Pesuruhjayanya, Muhammad Sha’Ani Abdullah berkata, kajian terperinci perlu dilakukan mengenai isi kandungan nota tersebut sebelum sebarang tindakan susulan diambil.

Menurutnya, Suhakam memandang serius terhadap perkara tersebut dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya didapati isi kandungan nota tersebut adalah benar.

"Kami menerima nota tersebut minggu lalu. Siasatan sudah mula dijalankan pada minggu ini. Banyak faktor yang perlu diberi penekanan terhadap kesahihan nota tersebut.

"Bukan sahaja mengenai isi kandungannya, malah pengirim nota berkenaan. Adakah benar ia ditulis oleh tahanan atau mereka yang sudah bebas.

"Faktor-faktor ini perlu diberi penelitian terperinci. Ia bukan perkara mudah. Kita tidak mahu wujud unsur penipuan yang sengaja diadakan demi kepentingan peribadi seseorang," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, jika didapati nota tersebut benar-benar sahih dan terdapat kes salah laku kakitangan terhadap tahanan, Suhakam tidak akan berdiam diri.

"Suhakam akan mendapatkan siapa pengirim dan saksi-saksi berkaitan kes ini. Kita mahu mereka tampil dan membantu kes ini. Tidak seharusnya berlaku salah laku kakitangan dalam menjalankan tugas mereka dan perkara ini perlu diadili dengan sebaik-baiknya.

"Suhakam akan membuat syor yang akan diserahkan kepada pihak berwajib. Namun perkara tersebut masih terlalu awal untuk diperkatakan kerana pada masa ini kami masih meneliti kesahihan nota terbabit," katanya.

Sinar Harian difahamkan, nota tersebut telah diseludup dari kem tahanan ISA di Kamunting dan didedahkan kepada sebuah portal berita.

Antara isi kandungan nota tersebut adalah penyeksaan yang dilakukan oleh kakitangan kem berkenaan yang bertindak menyeksa tahanan ala Guantanamo seperti dipaksa menanggalkan pakaian sehingga hanya memakai pakaian dalam, dan digantung terbalik daripada satu mesin yang bergerak mengelilingi satu bilik penyeksaan khas yang disyaki terletak di Bukit Aman.

Selain itu tahanan turut dilumur minyak panas di kemaluan dan dipaksa berbogel serta melakukan ketuk ketampi selama beberapa jam untuk tempoh sehingga 60 hari.

Tiada ulasan: