Selasa, 12 Jun 2012

Speaker tak faham siasatan, usul tergempar Scorpene ditolak

Oleh Mohd Martin Kahar


KUALA LUMPUR: Usul tergempar KEADILAN supaya Kementerian Pertahanan menjawab dakwaan penjualan dokumen rahsia berkaitan kapal selam Scorpene kepada syarikat pertahanan Perancis ditolak hari ini.

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menolak usul yang dikemukakan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dengan alasan kononnya kes tersebut tidak mempunyai bukti dan hanya andaian.

Usul berkenaan difailkan beliau pada Khamis lalu yang dibuat bawah Perintah Tetap 18(11).

Izzah berkata, skandal tersebut tidak boleh dipandang remeh kerana Malaysia terikat dengan Konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu menentang rasuah dan bertanggungjawab menjelaskannya kepada antarabangsa.

“Isu ini menjadi perhatian antarabangsa. Bukan sahaja di Asia malah turut dibahaskan dalam Parlimen Malta. Malaysia perlu tampil menjelaskan perkara ini kepada antarabangsa lebih-lebih lagi ia melibatkan Perdana Menteri,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen.

Turut hadir, Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari; Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dan wakil NGO Kelab Kebajikan Veteran dan Pesara Tentera (Kerabat).

Izzah yang juga Naib Presiden KEADILAN memandang serius kenyataan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang ada mengesan dokumen sulit ketenteraan itu mengalir ke luar negara.
“Ia cukup membuktikan keselamatan negara terancam,” tegas Izzah.

KEADILAN sehubungan itu mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat rasuah dan penjualan dokumen Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam urusan pembelian Scorpene, kata Izzah.

Sementara itu, Tian berkata, isu tersebut bukanlah andaian kerana siasatan polis Perancis membuktikan elemen penjualan dokumen sulit kerajaan.

“Parlimen kata mereka tidak menerima apa-apa dokumen. Speaker tak faham mengenai siasatan di Perancis. Dokumen mencukupi untuk Perancis meneruskan perbicaraan. Mengikut undang-undang, dokumen ini tak boleh dicetak dan diterbitkan.

“Hanya peguam sahaja yang boleh memegangnya. Peguam boleh mendedahkannya kepada anak guamnya dan wartawan. Jadi kalau mereka kata mereka tak dapat dokumen berkenaan skandal ini, saya kira ia tidak tepat,” katanya.

Tiada ulasan: