Ahad, 17 Jun 2012

Setpol: Projek dari Geran Selangorku diluluskan penjawat awam

MALAYSIA KINI
 
 
 
Setiausaha politik kepada menteri besar Selangor, Faekah Husin berkata bekas menteri besar Dr Khir Toyo membuat "tuduhan jahat melampau" apabila mendakwa Tan Sri Khalid Ibrahim menggunakan kuasa meluluskan dana Geran Selangorku untuk kepentingan politik.

Jelasnya, geran berjumlah RM300 juta tersebut tidak termasuk dalam perbendaharaan negeri dan tidak memerlukan kelulusan setiausaha kerajaan negeri mahupun pegawai kewangan negeri untuk digunakan.

"Perkara yang sama dilakukan di peringkat kerajaan persekutuan di mana terdapat peruntukan yang dikelola terus dari Jabatan Perdana Menteri di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dan tidak melalui KSN mahupun Perbendaharaan," katanya.

Bezanya, kelulusan untuk projek tersebut serta sebut harganya dilakukan oleh jawatankuasa pemandu yang tidak berkepentingan, katanya.

Pemberian kontrak pula dibuat oleh pihak berkuasa tempatan (PB) atau pejabat tanah dan daerah (PBT) masing-masing yang mengeluarkan tender terbuka, manakala pelaksanaannya diaudit badan bebas termasuk JKR sebelum bayaran boleh dibuat melalui Perbadanan Menteri Besar, kata Faekah lagi.

"Tidak ada satu projek infrastruktur yang ditentukan oleh menteri besar sebaliknya diluluskan oleh jawatankuasa yang dianggotai pegawai tinggi kerajaan.

"Adakah Dr Khir mahu menidakkan keupayaan dan kepakaran pegawai kerajaan dalam membuat keputusan tentang keutamaan projek?

"Nampaknya beliau masih tidak insaf dengan penghinaan yang beliau lakukan dengan memberi hadiah penyapu kepada pegawai kerajaan dan sekarang mahu mengulanginya dengan tuduhan melulu."

Tambahnya, Dr Khir sepatutnya berasa malu kerana gagal mengutip hutang lapuk kerajaan Selangor - yang kini berjaya dikumpul untuk Geran Selangorku.

"Geran Selangorku adalah hasil kebijaksanaan kerajaan Pakatan Rakyat mengutip hutang lapuk yang sengaja dilupakan Dr Khir semasa pemerintahannya atas sebab-sebab yang beliau dan seluruh kepimpinannya sahaja yang maklum," katanya.

Tiada ulasan: