Oleh Mohd Martin Kahar
KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar menyangkal dakwaan Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin kononnya ‘orang luar’ punca kekecohan pada ceramah Pakatan Rakyat di Pantai Permai minggu lalu.
Beliau berkata, tuduhan Ketua Bahagian Umno Lembah Pantai itu bertujuan memutar belit fakta kejadian selain merendahkan martabat hak demokrasi yang merugikan rakyat.
“Sebagai Ahli Parlimen Lembah Pantai, saya mengalu-alukan kehadiran pemimpin nasional seperti Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin turun ke Lembah Pantai dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
“Saya tidak melihat tindakan Umno ini sebagai usaha membawa masuk orang luar ke dalam politik tempatan. Ianya adalah pengiktirafan bahawa KEADILAN telah melakukan banyak perkara dengan betul untuk layak menerima layanan sebegini,” katanya ketika dihubungi Keadilan Daily.
Pada malam 24 Mei lalu, ceramah PR di Pangsapuri Pantai Permai dicemari keganasan yang dilakukan samseng Pemuda Umno.
Ketika Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berceramah, samseng Umno mensabotaj dengan memotong kabel menyebabkan bekalan elektrik terputus. Dalam keadaan gelap, samseng itu melempar batu, telur dan botol ke arah hadirin.
Tindakan biadap itu menyebabkan seorang warga emas parah di kepala dan seorang kanak-kanak berusia 12 tahun patah tangan kiri. Samseng berkenaan turut memancit dan menoreh tayar kereta Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.
Kelmarin, Nong Chik yang merupakan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar berdalih mengatakan belum ada bukti siapa yang mencetuskan kekecohan. Sambil merujuk salah seorang mangsa, Raja Ismail Raja Din dari KEADILAN Selangor, Nong Chik menuduh kekecohan itu berpunca daripada orang luar.
Dalam pada itu, Nurul Izzah yang juga Naib Presiden KEADILAN turut mencabar Nong Chik berdebat berkaitan semangat demokrasi bagi membuktikan politik keganasan tidak boleh diterima segenap lapisan masyarakat.
“Saya sekali lagi menyatakan kesediaan saya untuk berdebat dengan Datuk Raja Nong Chik, dua minggu dari sekarang di Pantai Permai, tempat sama seperti ceramah saya minggu lalu.
“Saya nantikan sama ada beliau mampu menterjemah percakapan menjadi realiti oleh sebab beliau percaya bahawa semua politik itu bersifat setempat,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan