Tidak pernah menyesal bergelar anak seni, bagi pemilik nama sebenar, Dara Abdul Jalil, 57, ini nyata belum bersedia untuk mengundur diri dalam industri seni.
Mengakui semakin ramai artis dan pelapis muda yang berjaya menempa nama, namun ia bukanlah penghalang untuk Rohana yang mesra di sapa Kak Ana ini untuk terus berkarya.
Tidak pernah mengalah dalam perkukuhkan kedudukannya sebagai penyanyi sehingga ke hari ini, Rohana pernah tampil dengan album, Teman Semasa Berada, pada tahun 2010.
Album itu turut memuatkan lima lagu baru dan sembilan lagu lama. Antara lagu baru ialah Teman Semasa Berada, Lain Di Mulut, Lain Di Hati, Taat, Cha Cha Bolero dan Mahbub Anta.
Lagu lama yang dinyanyikan semula oleh Rohana dalam album itu pula termasuk Istana Pasir yang pernah dipopularkan oleh kumpulan Alleycats, Epilog Cinta Dari Bromley (Suhaimi Meor Hassan), Ku Kehilanganmu (Datuk DJ Dave), Mengapa Sepi Tanpa Berita (The Step), Di Pintu Mahligai (Iklim), Melati Di Tapal Batas (J Mizan), Dulu dan Sekarang (Black Dog Bone), Seiring dan Sejalan duet bersama Mas Omar (Datuk Sharifah Aini dan Broery Marantika), serta lagu popularnya, Rayuanku.
Sentiasa memikirkan karya terbaru yang ingin dikongsi bersama peminat dan pendengar, kini, Rohana bakal menampilkan single terbarunya tidak lama lagi.
"Kak Ana akan tampil dengan single terbaru, namun ia masih lagi dalam perancangan.
Kemungkinan besar, Kak Ana akan berduet dengan anak, Kilafairy dalam lagu itu.
"Insya-ALLAH, single itu akan diperkenalkan pada tahun ini sekiranya tiada aral melintang.
Pun begitu, Kak Ana tidak dapat bercerita lebih lanjut lagi kerana ia masih di peringkat awal.
"Konsep lagu itu juga akan dicipta bersesuaian dengan trend sekarang," katanya yang juga menggalas tugas sebagai pengurus kepada anak bongsunya, Kilafairy.
Pernah gagal dua kali
Bercerita mengenai penglibatan awalnya dalam bidang seni, Rohana mengakui bukan mudah untuk dirinya menempa kejayaan sehingga kini.
Walaupun tidak mendapat tentangan hebat daripada keluarga, namun dia terpaksa mengharungi pelbagai cabaran untuk berjaya.
Katanya, sebelum menyertai Bintang RTM, dia pernah menghiburkan orang ramai di majlis perkahwinan dan keramaian. Selain itu, dia juga pernah bekerja di kelab untuk menyara keluarga.
"Sebelum bergelar Juara Bintang RTM pada tahun 1980, Kak Ana pernah menyertai pertandingan itu di Johor Bahru sebanyak dua kali, namun keduaduanya gagal.
"Pada tahun 1979, Kak Ana membuat keputusan untuk berhijrah ke ibu kota untuk mencuba nasib sekali lagi. Tanpa disangka, tahun 1980, Kak Ana berjaya.
"Selepas itu, Kak Ana mendapat tawaran untuk menampilkan album pertama, Di Suatu Ketika, pada tahun 1980," katanya yang berjaya merakamkan 14 album sehingga kini.
Album Rohana termasuklah, Rintik- Rintik Hujan, Masih Dalam Ingatan, Rayuanku, Resahku, Kerana Dia Kita Terpisah, Faez dan Jangan Main Mata.
Canti k semulajad I
Jika dilihat dari penampilan dan kecantikan yang dimiliki oleh Rohana, ramai yang beranggapan pelantun lagu Rayuanku ini mengambil suntikan wajah untuk kekal cantik.
Mana tidaknya, di usia hampir separuh abad ini, Rohana masih kekal jelita dan tidak dimamah usia.
Walaupun pernah timbul kontroversi mengenai wajahnya itu, namun bagi Rohana, ia hanyalah fitnah yang ditaburi oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
"Kak Ana tak pernah suntik botox atau apa-apa suntikan lain untuk kelihatan cantik.
Ramai yang telah membuat andaian salah dan menyebarkan fi tnah itu.
"Selain dari menjaga pemakanan dan diet yang seimbang, Kak Ana turut mengamalkan pengambilan Vitamin C. Kak Ana juga jarang makan nasi dan elak daripada minum ais.
"Kak Ana memang seorang yang mementingkan penampilan dan penjagaan wajah.
Tapi, ia hanyalah melalui pemakanan sahaja," katanya yang memiliki berat badan 57 kilogram.
Tidak halang minat anak
Sebagai orang lama yang berkecimpung dalam industri selama 32 tahun, Rohana mengakui pelbagai kisah suka dan duka yang singgah dalam pelayaran hidupnya.
Menjadikan pengalaman lalu sebagai pengajaran berguna untuk meniti hari-hari mendatang, Rohana sentiasa mengingati anak gadisnya agar tidak cepat melatah dengan sebarang kontroversi seta gosip yang timbul.
Tidak pernah menghalang minat si anak untuk mengikut jejak langkahnya, namun Rohana tidak melepaskan Kilafairy begitu sahaja tanpa pengawalan.
"Sebagai ibu dan pengurus Kila, Kak Ana sering menasihatinya agar bersabar dan tidak cepat melatah. Sebelum Kila memilih jalan ini, berkali-kali Kak Ana menasihatinya agar bersiap-sedia dengan segala kemungkinan yang timbul.
"Nasihat Kak Ana, dunia seni bukan sesuatu yang indah kerana setiap langkahnya pasti ada onak duri, lebih-lebih lagi muka baru sepertinya.
"Untuk menghalang minat anak, tidak sama sekali kerana mereka bebas untuk membuat keputusan yang betul.
Lagipun, hanya Kila sahaja yang berminat dalam bidang ini berbanding dua yang lain," katanya yang turut memiliki butik di USJ 19.
Mengakui semakin dihambat kesibukan, kini, butik itu telah bertukar tangan kepada dua anaknya, Shakira Idora, 23, dan Kilafairy. Butik dua tingkat, Rack, milik dua beradik ini, akan diperkenalkan dalam satu majlis pelancaran pada 13 Jun ini di USJ 19 City Mall, Subang Jaya.
"Sebelum ini, Kak Ana hanya menjual pakaian wanita biasa sahaja, namun apabila sudah beralih tangan, Kila dan Kira telah mengubah fesyen pakaian remaja kini.
"Bersesuaian dengan umur mereka, jadi ia adalah salah satu daya tarikan yang ada di butik itu.
Bagi peminat fesyen terkini, bolehlah mengunjungi butik tersebut," ujarnya yang sentiasa menyokong minat anak-anak perempuannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan