Abim Selangor berpandangan pihak PTPTN tidak wajar bertindak sedemikian, memandangkan ia menafikan hak para pelajar pembiayaan yang layak untuk mengikuti pengajian di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sepertimana yang termaktub dalam objektif penubuhan badan tersebut - memastikan pembiayaan yang efisien disediakan kepada pelajar-pelajar yang layak mengikuti pengajian di IPT selaras dengan hasrat kerajaan bahawa tidak ada pelajar-pelajar yang gagal memasuki IPT atas sebab-sebab kewangan.
Abim Selangor berpandangan selaku IPTS yang menawarkan kursus yang diiktiraf dan mendapat perakuan akreditasi daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Unisel pasti telah memenuhi syarat asas menerima pembiayaan PTPTN dari badan berkenaan.
Bahkan Abim Selangor juga berkeyakinan para pelajar yang ingin memohon telah pun memenuhi prasyarat mengikuti pengajian di Unisel. Menilai implikasi besar (jika pembiayaan ditarik balik) terhadap masa depan sistem pendidikan di negara ini, Abim mendesak penyelesaian segera dicapai oleh pihak-pihak terbabit.
Abim Selangor juga memuji tindakan pentadbiran Unisel yang berbincang dengan pihak PTPTN serta menilainya sebagai satu tindakan yang wajar. Dalam hal ini masa depan serta kebajikan pelajar mesti diletakkan sebagai keutamaan penting.
Adalah amat mendukacitakan sekiranya polemik ini terjadi akibat dari amalan budaya politik tidak matang serta menggambarkan mentaliti politik yang rendah serta memualkan. Oleh yang demikian, Abim Selangor menggesa pihak PTPTN agar mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung dengan dakwaan penggantungan dan menyatakan dengan jelas sebab munasabah di sebalik isu ini.
Kami juga mendesak pihak-pihak berkenaan untuk mencari jalan penyelesaian untuk memelihara kebajikan dan masa depan pelajar di masa depan. Mengambil kesempatan ini, Abim Selangor juga menyeru agar Kerajaan Negeri Selangor agar mengambil langkah sewajarnya untuk menangani isu ini daripada berlarutan, memandangkan ia menyentuh secara langsung imej Unisel selaku IPT utama di negeri Selangor di samping menyentuh secara langsung kesinambungan masa depan para pelajar.
"Menegakkan Kebenaran dan Keadilan".
* Khairuddin Abas,
Yang Dipertua Abim Selangor
Tiada ulasan:
Catat Ulasan