Rabu, 13 Jun 2012

PRU13 tetap guna dakwat kekal

SINAR HARIAN

Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz
Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz
 
 
KUALA LUMPUR - Penggunaan dakwat kekal tetap dilaksanakan pada Pilihan Raya Umum ke-13 walaupun Rang Undang-Undang (Pindaan) Akta Kesalahan Pilihan Raya 2012 telah ditarik semula.
  
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata penggunaan dakwat kekal adalah selaras dengan penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Pilihanraya (Penjalanan Pilihanraya) (Pindaan) 2012 yang diwartakan 13 Feb lepas dan berkuat kuasa pada 15 Feb.
  
"Penggunaan dakwat kekal adalah terpakai bagi semua pengundi yang akan mengundi pada hari diadakan pengundian awal dan hari pengundian biasa.
  
"Kecuali pengundi yang akan mengundi secara pos berdasarkan kepada peruntukan Peraturan 3 Peraturan-Peraturan Pilihanraya (Pengundian Pos) 2003," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.
  
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Sim Tong Him (DAP-Kota Melaka) berhubung penggunaan dakwat kekal selepas penarikan balik Rang Undang-undang Kesalahan Pilihanraya (Pindaan) 2012.
  
Rang undang-undang itu dibentangkan pada 9 April lepas bagi menambah baik proses pengundian, termasuk menjauhkan lagi tempat menunggu atau berada dekat pusat mengundi pada hari mengundi dari 50 meter kepada 100 meter, kecuali bagi mereka yang masuk untuk mengundi.
  
Dewan Rakyat meluluskan rang undang-undang itu pada 19 April lepas, namun ia ditarik balik semalam setelah kerajaan berbincang dengan pembangkang dan Suruhanjaya Pilihan Raya. - Bernama

Tiada ulasan: