Oleh Aspan Alias
Saya selalu berkata UMNO Baru sudah hilang hidayah dalam mentadbir negara. Bagi UMNO Baru modalnya hanyalah satu iaitu isu pembangunan dan gula-gula kewangan terhadap rakyt. Bagi UMNO Baru kerajaan yang baik itu ialah kerajaan yang boleh membina lapangan terbang, membina sekolah, melebarkan jalan, menyediakan bekalan air dan api letrik dan sebagainya.
UMNO
Baru tidak lagi memahami bahawa pembangunan fizikal itu hanyalah
sebahagian yang kecil daripada apa yang dikatakan sebagai ‘nation
building’ itu.
Itulah sebabnya UMNO Baru dan pemimpin-pemimpinnya tidak terlepas
daripada mengungkit apa yang telah dilakukan terhadap rakyat dan negara.
Suatu ketika dahulu bantuan subsidi gigi palsu pun dijadikan umpan
untuk orang-orang kampung mengundi parti itu di dalam pilihanraya. Di
kampung saya suatu ketika dahulu bantuan lembu pawah juga menjadi isu
untuk memaksa orang memilih BN.
Semuanya itu adalah pembangunan yang menggunakan wang rakyat dan
pemimpin yang dipilih itu juga dibayar gaji dan elaun oleh rakyat. Tidak
sedar mereka itu yang nasib mereka itu adalah di tangan rakyat tetapi
mereka tetap mengatakan bahawa pembangunan itu semua adalah budi
kerajaan BN. Mereka tidak pernah untuk kembali berfikir yang mereka itu
duduk di atas singgahsana kuasa itu adalah pemberian rakyat.
Sesiapa juga atau parti mana pun yang diberi mandat akan melakukan
pembangunan kerana harga pembangunan itu dibayar oleh rakyat, bukannya
oleh UMNO Baru atau pemimpin mereka. Di Pulau Pinang dan Selangor,
misalnya pembangunan rakyat dibiayai oleh rakyat negeri-negeri itu
melalui segala bentuk cukai yang dikutip dari rakyat.
Kerajaan kedua-dua negeri itu telah berjaya melakukan apa yang
dilakukan oleh kerajaan BN selama ini malahan ianya dilakukan dengan
lebih baik dan transperan dari kerajaan BN dahulu. Rasuahnya tiada lagi
seperti yang begitu lazim semasa BN memerintah negeri-negeri tersebut.
Pemimpin BN persekutuan tidak pula mahu menyebut peranan besar yang
diberikan oleh kedua-dua kerajaan PR ini terhadap negara.
Elok pemimpin BN membuat kenyataan yang kedua-dua kerajaan negeri PR
ini menyumbang sebanyak 40% dari hasil GDP negara. Itulah salah satu
sebabnya rakyat di kedua-dua buah negeri ini tidak mahu lagi dijaga dan
ditadbir oleh BN kerana kerajaan BN telah menyalahgunakan sumber
kewangan negara yang 40% darinya adalah sumbangan kerajaan dan rakyat
kedua-dua buah negeri ini.
Belanja lawatan Najib dan Muhyiddin ke seluruh negara yang memakan
belanja ratusan juta ringgit itu pada hakikatnya adalah dibiayai oleh
sumber kewangan dari kerajaan yang mana 40% darinya adalah sumbangan
kerajaan Selangor dan Pulau Pinang. Bayangkan satu lawatan PM akan
membelanjakan jutaan ringgit. Maklum sajalah peruntukan menyewa bas yang
beratus buah dan kadangkalanya ribuan buah untuk mengangkut rakyat
untuk datang menyambut PM itu sahaja memakan belanja ratusan ribu
jumlahnya.
Itu belum lagi belanja sewaan kerusi dan khemah yang banyak. Sewa
kerusi yang lazimnya hanya 0.65 sen bagi sebuah kerusi kroni UMNO Baru
yang menyediakan kerusi itu akan tekan harga dari penganjur sebanyak
RM1.70 sen. Kalau jumlah kerusi yang disewa itu sebanyak 20,000 buah
bayangkan berapa harganya. Karipap yang sebesar ibu jari itu ditekan
harganya sehingga satu ringgit bagi satu karipap bayangkan harga yang
perlu dibayar untuk menyediakan 100,000 karipap. Kalau karipap itu tebal
dan tembam tak apa juga!
Apabila habis upacara baru sedar semuanya adalah pembaziran kerana
jumlah orang yang datang memberikan sambutan itu jauh lebih kecil dari
yang dijangkakan. Semuanya ini pembaziran besar. Lawatan PM dan DPM ini
tidak memberi apa-apa kebaikan selain daripada menghabiskan karipap
sahaja. Ingat, rakyat dari negeri PR juga membayar cukai dan penyumbang
besar kepada kantung kewangan negara.
Mahal betul untuk mengekalkan kuasa dan kosnya itu ditanggung oleh
rakyat. Budaya ini wajar dihentikan kerana ia merupakan pembaziran
kepada sumber kewangan rakyat dan negara. Sesungguhnya lawatan peribadi
itu yang penting, tetapi yang lebih penting ialah dasar-dasar yang baik
dan implimentasinya yang cekap.
Yang patut turun kepada rakyat ialah dasar yang diimplimentasikan
dengan baik dan cekap terhadap rakyat Rakyat merasakan yang dasar-dasar
itu benar-benar sampai ke bawah bukannya dapat bersalam dengan PM dan
isterinya.
Setakat bersalaman dengan orang ramai bukan lagi cara politik zaman
moden ini. Cara itu memang telah diamalkan sejak zaman berzaman, tetapi
inilah yang kita dapati sekarang ini. Politik menjadi permainan yang
mengelirukan semata-mata kerana budaya bersalaman tetapi tidak membawa
apa-apa faedah kepada rakyat jelata.
Sudah lima puluh lima tahun pemimpin turun bersalaman tetapi rakyat
masih tidak berpuas hati kerana salam yang tidak membawa apa-apa faedah
kepada mereka (rakyat).
BN dan UMNO Baru tidak sedar bahawa penilaian (judgement) terhadap
pimpinan mereka ialah kepada dua perkara penting. Pertamanya ianya akan
dinilai dari tahap rasuah yang diamalkan oleh UMNO Baru dan pimpinannya
serta kerajaan yang melaksanakan dasar yang digubal.
Keduanya sejauh mana kejayaan perhubungan di antara kaum di negara ini.
Apabila isu perkauman dimainkan oleh UMNO Baru dengan begitu nyata maka
itulah yang menyebabkan pola dan ‘tendency’ pengundian didasarkan
kepada kaum dan ‘ethnic’ dan apabila perkara ini berlaku maka
perhubungan kaum akan menjadi begitu tegang seperti yang kita lihat dan
alami sekarang ini.
Itulah sebabnya sekarang parti-parti dalam PR sedang mendapat sambutan
daripada rakyat yang dahagakan ‘national unity’ yang sebenarnya. Rakyat
tahu mereka (rakyat) tidak akan mendapat keharmonian ini selagi UMNO
Baru masih berkuasa selepas pilihanraya nanti. UMNO Baru terlalu rasis
untuk kepentingan Melayu kononnya, tetapi Melayu tidak ke mana juga.
Takkan Melayu boleh meletakkan nasib masa depannya kepada Bantuan Rakyat
1Malaysia (BR1M) yang sejemput itu.
Melayu yang mendapat habuan besar terus menerus hanyalah Melayu yang
menjadi ahli ekskusif kepada parti itu yang jumlahnya boleh dikira
dengan jari sahaja. UMNO Baru sendiri telah mengabaikan orang Melayu
sendiri, tetapi masih menyanyikan lagu rasis ini kerana pilihanraya akan
datang tidak lama lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan